Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Politik Islam Pas makin abstrak

.
Politik Islam Pas makin abstrak
SESUDAH SUBUH

Apa sudah jadi dengan parti agama (Pas). Apakah ini tanda-tanda parti itu makin tidak berkualiti, terhakis wibawa apabila hampir seluruh golongan profesional yang celik dan arif politik sudah lari daripada parti berusia 65 tahun itu kerana dihalau secara berpasukan penuh taktikal pada akhir tahun lepas?

Tindakan, keputusan dan pendirian politik parti itu sukar untuk difahami dan berkedut-kedut macam jubah dan serban tidak digosok. Apa yang sudah terjadi kepada parti itu yang pernah menjadi harapan umum sebelum ini sebagai alternatif kepada Umno.

Takiyuddin Hassan
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ia semacam tidak ada fokus, naif berpolitik dan "kementot" dalam memahami siasah moden menyebabkan Pas kehilangan punca dan menjadi macam koleh "pok pik". Seolah-olah pimpinan baharu parti itu tidak tahu sifir politik dan tenggelam punca dalam politik Islami ciptaan mereka yang abstrak pula untuk difaham generasi baharu.

Ketidakonsisten dalam sesuatu pegangan dan pendirian sangat jelas dan meletakkan parti itu ke tahap dangkal. Percanggahan pendapat dalam mentafsir isu sesama sendiri bukan sahaja dikesan oleh pengkaji dan penganalisa politik, tetapi oleh ahli bawahan sendiri di kampung. Pergilah ke kedai kopi atau kedai gunting ahli dan penyokong akan bertanya sesama sendiri mengenai pendirian dan pandangan pemimpin parti itu. Mereka akan bertanya apa sudah jadi dengan Pas?

Selalu dikaitkan Pas tidak sekemas dan semantap semasa Nik Aziz ada. Sudah berubah dan berkecamukan. Ilusi ini sangat berbahaya kepada Pas kerana ia melemahkan semangat pendokong bawahan Pas.

Ahli dan penyokong akan persoalkan cara pemimpin mereka mengulas dan menangani isu yang timbul serta membuat kritikan balas terhadap pihak lawan. Hujah dan fakta yang dikemukakan sangat "leweh" dan menjadi bahan ejekkan. Idea pemimpin Pas tidak bernas dan berbobot lagi. Kalau boleh disebut, misalnya kenyataan daripada dua pimpinan ulama parti tersebut.

Husam dalam bilik transit sebelum majlis deklarasi
bermula, kelihatan sama Muhyiddin Yassin.
Satu daripadanya oleh Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga MB Kelantan, Ahmad Yakob, berhubung dengan Umno di Kelantan dimana beliau mengatakan Umno ibarat kapal yang sudah hampir pecah. Mereka yang mengikuti perkembangan politik di Kelantan, mencerapi apa yang berlaku di sana tentu ketawa terbahak-bahak mendengar kenyataan itu yang kontras dengan hakikat yang ada.

Yang hampir hendak tenggelam di Kelantan hari ini bukan Umno, tetapi Pas. Pas kini sudah menjadi perahu sopek sesudah wujudnya parti compingan daripada Pas bernama AMANAH. Apakah Ahmad menyedari akan keadaan perahunya itu? Umno yang jelas tidak ada keretakan dalam bahtranya, bahkan semakin kukuh "digalai" oleh perpercahan dalam Pas.

Begitu juga dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama yang juga Pesuruhjaya Pas Johor Mahfodz Mahmod, yang menganggap Muhyiddin Yassin sebagai penakut untuk melakukan perubahan dalam Umno. Kononnya dia membuat cabaran untuk melakukan provokasi kepada Muhyiddin. Apakah dia sedar apa yang sudah berlaku kepada Muhyiddin yang kini sudah pun dipecat sebagai TPM dan digantung jawatannyanya sebagai timbalan presiden Umno.

Apakah dengan apa yang terjadi kepada Muhyiddin itu bahawa bekas TPM itu masih lagi pengecut. Hambar dan cetak sangat analisa dan bacaan politik Mahfodz ini. Provokasi demikian menyebabkan orang ketawa dan khalayak menilai sejauh mana tinggi redah daya politiknya. Orang Johor terkenal sebagai orang yang matang dan cerdik politik. Kalau begitulah kenyataan dan idea politik Pas Johor ibarat momentum orang Johor untuk berubah meninggalkan Umno akan tergencat semula.

Janganlah kerana kita hendak melindungi kain kita carit maka kita membuat tuduhan sembrono mengatakan kain orang lain carit, walhal kemaluan kita sudah pun terjelar keluar. Inilah yang dimaksudkan bahawa ulasan dan counter attack dilakukan pemimpin Pas tidak berkualiti dan bermaya lagi sejak ke belakangan ini.

Berbalik kepada percanggahan dalam memberi kenyataan dan membuat pendirian politik, terbaharu ialah percanggahan jelas berhubung sikap Pas mengenai majlis deklarasi Anti Najib untuk selamatkan Malaysia yang berlangsung semalam. Awal-awal lagi Pas menyatakan pendirian tidak akan terbabit dengan deklarasi berkenaan. Kononnya Pas ada sikap dan pandangan politiknya sendiri yang lebih dewasa. Oh. Jadi Pas tidak akan bersama dalam majlis berkenaan walaupun diundang untuk ikut sama berpartisipasi.

Satu kenyataan pun dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan memaklumkan kepada umum mengenai sikap dan pendirian Pas. Kenyataan itu secara tidak langsung memberi tahu Pas tidak setuju dengan deklarasi berkenaan yang memberi arahan bahawa agar ahli Pas tidak menyokong deklarasi berkenaan. Maksud tersurat disebalik kenyataan itu boleh dianggap Pas redha dengan Malaysia terus dipimpin oleh Najib Razak. Dalam konotasi lain Pas "menyelamatkan" Najib.

Kenyataan yang dikeluarkan Takiyuddin itu pastilah "beruhkan" kepada pendirian politik yang dibuat presiden Abdul Hadi Awang yang mengatakan Pas (dia) tidak anti orang Umno tetapi Pas anti kepada Umno. Saya mentafsirkan kaedah yang diambil Hadi ini seperti kaedah fikh, "telor boleh makan, ibu makruh", macam kisah penyu dengan telornya.

Baca kenyataan Takiyuddin:

DEKLARASI MENUNTUT PERDANA MENTERI DISINGKIRKAN

1. PAS menghargai pelawaan YABhg. Tun Dr Mahathir untuk PAS sama-sama hadir dalam Majlis Menandatangani Deklarasi Menuntut Penyingkiran Perdana Menteri Malaysia yang dijangka diadakan pada hari Jumaat ini.

2. Sehubungan dengan perkara tersebut, PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama dalam program tersebut kerana PAS mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri khususnya melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara yang ada pada hari ini melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.

3. Melihat kepada suasana politik, ekonomi dan sosial negara yang amat gawat disebabkan urustadbir negara yang tidak keruan, maka PAS mengambil keputusan untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah cadangan supaya satu Suruhanjaya D’Raja dibentuk bagi mengadakan siasatan yang menyeluruh terhadap isu-isu 1MDB, Dana Politik RM2.6 billion, Skandal SRC International dan isu-isu lain yang berkaitan sebagaimana juga yang telah dititahkan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

4. Dalam hal ini juga, PAS konsisten dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai suatu formula untuk melakukan perubahan total dalam sistem pemerintahan negara.

5. Bagi menyelesaikan polimik semasa yang tiada penghujungnya kini serta keengganan Kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak, PAS menuntut supaya Parlimen Malaysia dibubarkan segera bagi membolehkan Pilihanraya Umum diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan Kerajaan Pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir.

6. Selaras dengan itu, PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersama PAS dan Blok Politik Ketiga sebagai Alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan cemerlang.


DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung
Bertarikh 3 Mac 2016.

Jelas dalam kenyataan itu Pas mengambil pendirian tidak bersetuju dengan deklarasi Anti Najib dan menyatakan Pas ada cara dan kaedahnya tersendiri dalam menghadapi masalah dan kegawatan Negara yang kian memarah kini.

Tidak mengapa kalau Pas tidak bersama mengistyharkan deklarasi rakyat berkenaan. Pendirian Pas itu perlu dihormati apa lagi Pas ada cara dan kaedahnya tersendiri ini termasuklah membuat blok kekuasaan ketiga tersendiri. Blok apa, blok balak? Bagi Pas tindakan itu sebagai matang?

Tetapi anihnya pula, menjelang majlis deklarasi itu hendak berlangsung, tiba-tiba muncul terhegeh-hegeh Mustapa Ali yang juga menjadi Pengarah Jabatan Pilhan raya Pas. Turut muncul juga Husam Musa dan Mahfuz Omar yang masih menjadi ahli Pas.

Mungkin kemunculan Husam Mua dan Mahfuz Omar tidak mengejutkan kerana umum sudah tahu kedudukan dan "masalah jiwa" kedua orang ini. Husam sendiri walaupun masih istiqamah dengan Pas, tetapi ada orang tertentu yang mahu beliau disingkirkan daripada Pas untuk menyenangkan kerja-kerja mereka mengawal dan menguasai Pas mengikut naluri mereka dan biar tidak terganggu dengan keberadaa Husam sebagai pengisalah.

Tetapi kemunculan seorang lagi pemimpin Pas, Khairuddin Aman Razali yang juga sebagai Ketua Penerangan Dewan Ulama menjadi tanda tanda tanya. Menyebabkan ramai yang menilik dan memerhati apakah yang hadir itu benar Mustapa Ali dan Khairuddin atau ada orang menyamar memakai topeng bermirip wajah mereka?

Tetapi setelah Mustapa dipanggil dan turut menanda tangan maka sah yang hadir itu Mustapa Ali yang pernah dihebuhkan dengan isu seluar dalam bersaix XXL.

Bingung. Kenapa Mustapa dan Khairuddin hadir. Apakah mereka tidak "tertakluk" dengan kenyataan larangan dibuat oleh kenyataan dikeluarkan Takiyuddin itu? Apakah kedatangan mereka itu tidak bersalahan dengan maksud kenyataan Tuan Presiden?

Dari sudut berorganisasi dan wala' jelas kedatangan Mustapa dan Khairuddin itu sudah melanggar "bai'ah" parti. Maka mereka wajar diambil tindakan. Adapun Husam dan Mahfuz kalau pun mereka hadir tidak menjadi masalah kerana pergerakan dan tindak tanduk mereka sebelum ini sudah difahami umum mereka sedikit skeptikal dengan cara parti mereka diurus dan ditadbirkan.

Begitupun kedatangan Husam ke majlis semalam tidak boleh diambil tindakan kerana ia tidak tertakluk kepada dua pekeliling yang direkaicptaan oleh Takyuddin sebelum ini yang melarang ahli (Husam) daripada menghadiri majlis anjuran DAP dan AMANAH sahaja. Majlis semalam dianjur oleh badan bebas, tidak ada sangkut paut dengan mana-mana parti politik.

Kalau Pas ingin mengenakan tindakan kepada Husam nampaknya Takiyuddin kena buka kitab Pas sekali lagi dan menggubal satu lagi Pekeliling baharu kemudian minta presiden endorse.

Apa yang tambah pelik dan bingung lagi, selepas Mustapa Ali dan Khairuddin hadir sehingga (mungkin) menjadi persoalan umum dan sekaligus sikap Pas dipertikaikan, keluar pula kenyataan daripada Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjelaskan kehadiran kedua orang itu. Menurut kenyataan Tuan Ibrahim, kononnya kedatangan Mustapa dan Khairuddin itu atas keizinan khas daripada presiden.

Baca kenyataan Tuan Ibrahim;

Penjelasan.
Dua orang yang hadir ke majlis deklarasi telah mendapat kebenaran dari Presiden.
1. Dato Mustaffa Ali
2. Dato Khairuddin Aman Razali.
Mereka hadir dengan kebenaran khas Presiden.

Deklarasi itu adalah deklarasi rakyat. Kandungan deklarasi ialah mendesak Najib turun dari jawatan selaras dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh PAS. Tiada masalah dengan deklarasi tersebut.

Seluruh pimpinan parti berdiri teguh di atas pandangan dan hak Presiden dalam isu ini.

PAS akan terus berusaha ke arah perubahan total dasar negara agar selaras dengan tuntutan Islam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden.
4hb Mac 2016.

Kenyataan Tuan Ibrahim ini pun sudah bercanggah maksudnya dalam frasa yang sama. Katanya Pas tidak ada masalah dengan isi deklarasi Anti Najib itu yang mahu desak Najib turun. Kalau tidak ada masalah kenapa Pas tidak bersamanya? Dan peliknya Pas memberi keizinan khas kepada Mustapa dan Khairuddin sedangkan presiden telah mengelurkan kenyataan yang tidak menolak Najib? 

Apakah Pas berasakan deklarasi dibuat semalam tidak selaras dengan tuntutan Islam, sebab Tuan Ibrahim mengatakan Pas akan berusaha ke arah perubahan total selaras dengan kehendak Islam. Membuang pemimpin yang memberi masalah kepada rakyat dan negara seperti dilakukan Najib itu, apakah tidak Islamik lagi? Apakah Islam yang dibentuk dan mahu diwarani oleh siasah Pas?

Atau pun Pas menjadi serba salah dan ketidaktentuan itu kerana wujud pertenatangan sikap mengenai Najib antara pemimpin Pas? Yang jelas kenyataan dua pemimpin tertinggi dalam Pas masih bersetuju dengan Najib sehinggakan mahu memberikan Najib peluang untuk menguruskan negara dan meminta empat saksi untuk perakui kesalahan Najib. Dan kenyataan Hadi yang mengatakan yang Pas "tidak anti orang tetapi anti Umno" adalah selari dengan kenyataan yang satu itu.

Apakah kerana kecelaruan dan tidak selari ini menyebabkan wujud hal-hal yang pelik dan anih seperti dua kenyataan di atas tadi, satu larang satu kononnya ada kebenaran khas, menyebabkan khalayak menjadi pening dengan Pas.

Masalah atau urusan pentadbiran sebeginilah menyebabkan parti agama itu kini hilang wibawa. Anjuran ahli agar istiqamah dengan perjuangan, menggunakan slogan fastabikun, tetapi peliknya ia tidak dihayati dengan tuntas oleh pemimpin tertinggi. Senario ini semualah menjadikan Pas kini sebagai sebuah kelab atau persatuan penduduk yang mentadbiran sebuah surau di hujung kampung sahaja. Pas juga diurus dan ditadbirkan tidak ubah seperti sebuah kelab pelajar yang boleh dibuat secara ad hoc oleh Setiasuaha dengan ada endorce oleh ketua.

Janganlah mabuk gadungkan ahli Pas.  [wm.kl.7:43 am 05/03/16]

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.