CELAH GELEGAR
[MP PKR BERGADUH PASAL UNDI TAK PERCAYA NAJIB] 1 Kumpulan kata "Najib Perlu Kekal PM Untuk Senang Menang PRU14", 1 Kumpulan kata "Najib Perlu DISINGKIR untuk Selamatkan Malaysia"
Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian mungkin berjaya membuatkan Parlimen menerima usul undi tidak percayanya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi partinya berpecah dalam menyokong langkah itu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Sumber parti berkata, satu kumpulan dalam parti itu percaya Najib perlu disingkirkan serta-merta, manakala satu kumpulan lain mahu beliau menghabiskan tempoh perkhidmatannya.
Perpecahan di kalangan PKR ini terjadi walaupun ahli Parlimen pembangkang secara terbuka menyeru pemecatan Najib melalui Parlimen sepanjang 3 bulan lalu.
“Kumpulan pertama percaya, lebih lama Najib menjadi perdana menteri, lebih hancur Malaysia,” kata sumber PKR dengan syarat tidak dinamakan.
“Kumpulan kedua pula percaya, lebih baik Najib kekal sehingga PRU14 kerana ia akan memudahkan pembangkang menawan Putrajaya,” tambah sumber itu.
Menurut sumber, perpecahan ini juga mengenai sama ada PKR harus bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengkritik paling lantang Najib, atau tidak.
“Dr Mahathir adalah paling lantang menggesa ahli Parlimen agar menjatuhkan Najib melalui undi tak percaya, ada pemimpin PKR yang berpendapat usaha ini tidak seharusnya disokong,” kata sumber itu.
“Sementara satu kumpulan lagi berpendapat, kerjasama dengan Dr Mahathir adalah terbaik pada waktu ini agar Najib dapat disingkirkan segera.”
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata pada Jumaat lalu adalah sukar untuk undi tidak percaya dilaksanakan terhadap Najib dan pembangkang tidak dapat menentukan usul berkenaan akan berjaya atau tidak.
"Kita kena realistik. Ia (undi tidak percaya) bukan mudah, kita perlu susun semula jangkaan. Kita tidak mahu situasi di mana selepas Parlimen, Najib masih berkuasa, dan orang menyalahkan kita," katanya, dan menambah ”Bukan kami yang kawal, Najib dan Speaker."
Usul yang dicadangkan Hee itu, disenaraikan sebagai perkara ke-25 dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman berkata, walaupun ia turut tersenarai, urusan kerajaan akan diberi keutamaan berbanding usul persendirian ahli Dewan.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR N Surendran berkata selain ahli Parlimen pembangkang iaitu DAP, PKR, PAS dan Parti Amanah Nasional (Amanah), ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan turut menyokong undi tidak percaya terhadap Najib.
"Kami rasa ia boleh dilakukan dan ahli Parlimen BN akan utamakan kepentingan negara, itu isunya. Kami tidak risaukan jumlah ahli Parlimen pembangkang,” kata Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai kepada The Malaysian Insider.
Seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, keberanian speaker Dewan Rakyat menjadi kunci kepada usaha menyingkirkan Najib untuk menyelamatkan Malaysia.
"Prasyarat pertama adalah keberanian dan laluan oleh speaker, dalam senario di mana hanya agenda eksekutif diutamakan di Parlimen.
"Dan kedua, kalau diluluskan, ia memerlukan keberanian ahli Parlimen kerajaan mendokongnya ketika pasca perbahasan di dalam Dewan Rakyat,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang dilihat enggan terlibat dalam “perpecahan” parti itu.
Nurul Izzah bagaimanapun berkata, semua pihak perlu “tunggu dan lihat” sama ada semua ahli Parlimen pembangkang akan turut sama menyokong usul tersebut, atau tidak.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Zin pula berharap tekanan yang kuat akan menyebabkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul berkenaan dibentang sekali gus dibahaskan.
“Saya berharap, kalau ada tekanan yang cukup, speaker akan benarkan usul dipercepatkan.
"Berdasarkan Peraturan 26 Peraturan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat, sebenarnya speaker ada kuasa percepatkan usul dibahaskan dan kalau mengikut Peraturan 18(1) usul itu boleh dibenarkan untuk dibahaskan, bergantung kepada budi bicara speaker,” kata ahli Parlimen Bayan Baru itu.
Sim berkata, melalui peraturan sedia ada, adalah sukar untuk usul berkenaan dibahaskan di dalam Dewan Rakyat apabila tidak mendapat kebenaran speaker.
Sim berkata, melalui peraturan sedia ada, adalah sukar untuk usul berkenaan dibahaskan di dalam Dewan Rakyat apabila tidak mendapat kebenaran speaker.
Perpecahan dalam isu menjatuhkan Najib ini terjadi seminggu selepas PKR dilaporkan bertelagah berhubung pelancaran Pakatan Harapan.
Surendran bagaimanapun percaya, isu membabitkan perpecahan dalam PKR seperti yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini tidak berkaitan, dan ia sudah berjaya diselesaikan selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kini menerima sokongan teguh daripada ahli dan pemimpinnya.
Beliau berkata, pemimpin PKR di Parlimen akan memberikan sokongan penuh kepada usul seperti itu dan menafikan PKR berpecah susulan penubuhan blok pembangkang itu sebelum ini.
"Itu tidak ada kena mengena. Itu kita minta diadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan tiada perpecahan dalam PKR.
"Kami bersatu teguh di belakang presiden. Perbincangan itu tiada kena mengena dengan usul undi tidak percaya,” katanya.
Sim berkata, Dr Wan Azizah kini menerima sokongan penuh kepimpinan parti tersebut.
“Tiada isu. Isu itu sudah pun diselesaikan dan presiden menerima sokongan penuh. Saya berharap tidak mustahil usul itu dibahaskan. Kita berdoa semoga akan menerima sokongan ahli Parlimen BN,” katanya. – 19 Oktober, 2015.TMI
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.