CELAH GELEGAR
#ShutdownSungaiBesi: Polis lebih ramai dari peserta pada ambang tahun baru 2016 malam tadi
KUALA LUMPUR: Tunjuk perasaan #ShutdownSungaiBesi tidak menghasilkan jumlah peserta yang ramai, namun ia diisi dengan ucapan bersemangat, di bawah pengawasan lebih 300 anggota polis.
Dalam himpunan pada Khamis malam itu, hanya 100 orang peserta turun ke Plaza Tol Sungai Besi bagi membantah kenaikan harga tol yang dikatakan telah menekan dan membebankan lagi rakyat.
Sebagai langkah berjaga-jaga, PDRM turut mengerahkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawasi keadaan seawal jam 12 tengah hari. Tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Sewaktu berucap, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak #ShutdownSungaiBesi, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata rakyat akan semakin susah manakala pemimpin semakin senang pada tahun 2016.
“Apa lagi kerajaan mahu dari rakyat? Rakyat sudah tidak mempunyai apa-apa! Rakyat sudah hilang kebahagian di dalam negara yang makmur ini hanya disebabkan penyelewengan yang dilakukan kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Najib Razak.
“Mereka berhujah, kalau tol tidak dinaikkan kerajaan terpaksa menanggung hutang. Oh, untuk mengorbankan RM1.08 bilion, semata-mata untuk mengurangkan kesengsaraan rakyat, kamu berkira.
“Tetapi, hutang RM42 bilion dari syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula dipejamkan mata begitu sahaja. Dimanakah keadilan dalam negara?” soalnya.
Shazni, yang juga Naib Ketua Pemuda (Politik) Parti Amanah Negara (Amanah), berharap tahun 2016 menjadi tahun rakyat berjuang menuntut pembelaan.
“Kita juga ajar pada tahun 2016 agar kerajaan tunduk dengan suara rakyat. Zaman kerajaan sahaja yang betul sudah berakhir. Rakyat semakin sesak, sebab itu harapan saya, agar rakyat terus bangkit,” ujarnya.
Sekitar jam 12.30 malam usai menyambut tahun baru di Plaza Tol Sungai Besi, peserta tunjuk perasaan mula beransur-ansur meninggalkan lokasi berkenaan.
Ditemui pemberita kemudiannya, Shazni ditanya mengenai jumlah peserta yang kurang memberangsangkan meskipun isu yang dibawa rapat dengan rakyat.
Personaliti politik yang kelihatan ialah Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, aktivis DAP Young Syefura Othman, dan aktivis PKR, Fahmi Zainol.
“Saya sudah hantar surat kepada parti pembangkang, termasuk Parti Sosialis Malaysia, namun apa yang saya boleh buat. Jika mereka mahu datang, mereka akan datang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.