Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Shahbuddin Husim: Nampaknya ORANG POLITIK YANG BERNIAGA Perlu Mula MENJAUHI ZAHID HAMIDI

CELAH GELEGAR
Shahbuddin Husim: Nampaknya ORANG POLITIK YANG BERNIAGA Perlu Mula MENJAUHI ZAHID HAMIDI

Sehingga ini Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi belum lagi membuat apa-apa pembetulan atau penafian berhubung  kenyataannya  agar pemimpin dan ahli politik jangan terlibat dalam dunia perniagaan.

Melainkan jika ada penjelasan sama ada kenyataannya itu sekadar gurauan, disalah lapor oleh media atau dipetik di luar konteks yang sepatutnya, bermakna apa yang diperkatakan itu masih lagi boleh dianggap sebagai betul dan sah.

Dengan itu, semua pemimpin dan ahli politik dalam UMNO haruslah mengambil maklum akan pendirian terbaru Zahid mengenai perkara itu mulai sekarang.

Apabila Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri meminta ahli politik menumpukan perhatian kepada politik dan peniaga pula menumpukan kepada perniagaan, isyarat yang paling jelas boleh difahami ialah beliau ingin menjauhkan diri daripada ahli politik selagi mereka terlibat dengan perniagaan.

Walaupun diketahui umum bahawa majoriti pemimpin dan ahli politik UMNO terlibat dalam perniagaan, baik sebagai usahawan tulen, mengambil komisyen, sekadar menjadi pengerusi atau sebagai rakan kongsi, mereka kini nampaknya hanya boleh berjumpa atau berurusan dengan Zahid atas urusan politik saja.

Tidak lagi dibenarkan datang berjumpa dengannya atas urusan perniagaan atau membawa sampul surat besar untuk meminta sebarang tandatangan untuk sokongan dan kelulusan.

Hanya ahli perniagaan yang tidak terlibat atau tiada apa-apa jawatan dalam politik saja yang akan dilayan jika ingin berjumpa dengan Zahid bagi meminta bantuan berkaitan tender atau kontrak kerajaan.

Meskipun disedari bahawa majoriti ahli politik adalah juga ahli perniagaan, sama seperti Zahid sebelum ini, ternampak ramai yang tidak senang serta keliru dengan kenyataannya itu.

Penglibatan ahli politik dalam perniagaan, hakikatnya bukan saja merata dalam UMNO, bahkan juga dalam parti-parti lain di negara ini. Ia adalah lumrah yang harus diterima kerana politik, kuasa dan perniagaan adalah hubungkait yang tidak dapat dipisahkan.

Lagi pun, hanya dengan melibatkan diri dalam perniagaan sajalah keselesaan mampu diperolehi oleh pemimpin politik yang tiada jawatan dalam kerajaan yang seterusnya akan membuka ruang lebih luas untuk mereka membantu ahli dan rakyat di peringkat bawahan.

Mungkin sejak dilantik sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan, Zahid mulai "lemas" kerana terlalu ramai orang politik yang datang dan ingin bertemunya untuk meminta itu dan ini, lalu membuat kenyataan sedemikian rupa.

Tidak seharusnya pemimpin dan ahli politik UMNO berkecil hati dengan Zahid. Jika itu pendirian atau kemahuannya, terimalah ia sebagai takdir Tuhan yang telah ditetapkan.

Tetapi janganlah mudah berputus asa. Cubalah pula mengadu nasib dengan mana-mana menteri kabinet atau menteri besar yang lain, malah dengar-dengarnya, Hishammuddin Hussein, sejak dulu lagi memang dikenali agak pemurah dengan sikap suka menolong kawan-kawan dalam UMNO melalui pelbagai kontrak dan tender kerajaan yang di bawah kuasanya sebagai menteri.

Lagi pula pepatah ada menyebut, "merajuk pada yang sayang", "minta tolong pada yang ada" dan "merayu pada yang sudi". (Shahbuddin Husin 10/01/2016).

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.