SHAH ALAM – Pemerhati politik berpendapat hanya ahli Umno sahaja boleh mengguling Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada kuasanya.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tekanan melalui himpunan Bersih yang dijadualkan hujung bulan ini hanya sia-sia.

“Saya rasa dalam konteks Malaysia, ia sia-sia, tidak memberi kesan tapi di luar negara memang beri kesan sebab itu mereka mahukan Najib ditumbangkan dengan cara itu. Tapi di Malaysia ini, impaknya tidaklah begitu... Najib tidak akan tunduk.

“Saya percaya yang menyertainya itu nanti bukan mewakili majoriti rakyat. Hanya terdiri daripada sebilangan kecil daripada NGO-NGO jadi, tidak memberi kesan sangatlah,”
katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Namun, menurut beliau usaha itu boleh berjaya jika Bersih mampu bersama-sama Umno dan BN untuk menurunkan Najib.

“Kecuali Bersih ini dapat menggembleng ramai pihak dengan sebahagian besar rakyat termasuk parti-parti pemerintah sendiri.

“Jadi, kalau tidak meletakkan Umno, komponen BN, sukar untuk tumbangkan dengan cara itu,”
katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika ahli Majlis Tertinggi Umno menolak Najib, beliau tiada pilihan lain selain berundur.

“Pada saya, ada beberapa cara sahaja untuk perdana menteri letak jawatan. 


Pertama, undi tidak percaya di Parlimen tapi siapa yang nak bawa? Tiada siapa yang berani nak bawa. 

Kedua, pilihan raya. Itu pun jika BN menang dan Najib sendiri menang di Parlimen Pekan, tak boleh juga jatuhkan dia.

“Ketiga, melalui persidangan tergempar Umno. Kalau dua per tiga mahu Najib berhenti, boleh. Tapi siapa yang nak mulakan? Ataupun separuh Ahli Majlis Tertinggi Umno minta dia berhenti, juga boleh berlaku. Tapi persoalannya siapa yang mahu mulakan? Ahli Majlis Tertinggi Umno pun banyak orang dia (Najib)... lantikan dia malah ketua bahagian pun orang dia,”
katanya.

Prof Madya Dr Mohamad Fuad Othman turut senada dan menyatakan bahawa Najib boleh tumbang dengan penolakan partinya sendiri.

“Saya rasa tiada kesan (Bersih 4) sebab akhirnya yang betul-betul boleh memberi kesan kepada Datuk Seri Najib adalah Umno.

“Kalau Umno sendiri mahukan dia turun, ia boleh berlaku. Kalau ikut sejarah kita, perdana menteri tak pernah dijatuhkan kerana faktor-faktor yang lain kecuali kehendak ahli parti itu sendiri,” katanya.

Beliau berpendapat, gerakan seperti Bersih itu jika tidak mengikut cara yang sebenar ia akan memberi kesan negatif.

“Gerakan-gerakan lain itu sebagai gerakan sampingan sahaja. Bersih ini satu gerakan massa dan pada masa sama saluran yang digunakan itu jika tidak betul-betul caranya, ia boleh memberi kesan yang negatif.

“Tapi pada saya, sebahagian tuntutan-tuntutan itu telah dilaksanakan cuma seperti biasalah, mana ada tuntutan yang boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.