Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[SUSULAN KES SONGLAP 100JUTA] KSN: Pegawai jawatan sensitif seharusnya ditukar 3-5 tahun

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
[SUSULAN KES SONGLAP 100JUTA] KSN: Pegawai jawatan sensitif seharusnya ditukar 3-5 tahun

 
PUTRAJAYA - Pegawai yang memegang jawatan sensitif seharusnya ditukarkan dalam tiga hingga lima tahun, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 Panduan Pertukaran Pegawai Awam menyatakan ketua jabatan boleh menukarkan pegawai yang menyandang jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pernah menegur dan mengeluarkan surat mengenai pertukaran pegawai yang memegang jawatan sensitif namun menghadapi cabaran berikutan rayuan bahawa (keperluan bagi) pegawai itu kritikal dan perlu dikekalkan.

"Sehubungan itu, saya minta kerjasama kementerian dengan bantuan menteri supaya jangan merayu kalau seseorang pegawai diarahkan bertukar kerana tempoh panjang (berkhidmat) di sesebuah kementerian, pada masa depan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ali berkata jawatan yang sensitif adalah jawatan di mana penyandangnya terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa menguatkuasakan undang-undang, terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa memproses sesuatu permohonan yang boleh menghasilkan pulangan kewangan atau habuan.

Jawatan sensitif juga termasuk pegawai yang menjalankan tugas membuat bayaran atau kutipan hasil daripada pelanggan dan membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan budi bicara sama ada seseorang itu layak atau tidak mendapat sesuatu.

Ali berkata pegawai yang memegang jawatan diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif boleh berkhidmat antara tiga hingga lapan tahun di sesebuah kementerian atau agensi. - Bernama


KENYATAAN MEDIA KETUA SETIAUSAHA NEGARA BERKENAAN PENANGKAPAN PEGAWAI KANAN KERAJAAN OLEH SPRM

Kerajaan sentiasa memantau aktiviti perolehan di Kementerian-kementerian bagi memastikan perolehan dilaksanakan dengan teratur. Pemantauan ini dilaksanakan,antara lain, melalui pelaporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun dan penubuhan Unit Integriti di setiap agensi Kerajaan. Sehubungan dengan pemantauan berterusan tersebut, Kerajaan sentiasa bekerjasama erat dengan SPRM dalam meneliti semua bentuk ketidakakuran dalam perolehan kerajaan sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, bagi menentukan sama ada ketidakakuran itu ada unsur jenayah atau tidak. 
 
Perkara ini melibatkan tindakan pemantauan berterusan, pengumpulan maklumat dan bukti-bukti yang kukuh serta pengecaman identiti pegawai awam yang terlibat dalam sesuatu pelaporan ketidakakuran (non-compliance report) bagi membolehkan suatu tindakan jenayah atau tatatertib diambil ke atas pegawai yang telah dikenal pasti. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa isu-isu ketidakakuran masih boleh berlaku jika terdapat kelemahan-kelamahan dalam peringkat kawalan dalaman.
 
Sepertimana dimaklumi, YB Menteri KBS pada pagi ini telah membuat kenyataan media yang mengesahkan bahawa individu yang dirujuk dalam isu penyelewengan yang didedahkan oleh SPRM adalah merupakan pegawai di Kementerian Belia dan Sukan. Kerajaan memandang serius kes sedemikian dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai jika sabit kesalahan. 
 
TINDAKAN SERTA MERTA
 
Selaras dengan penahanan pegawai oleh SPRM pada Khamis 17 Mac 2016 berhubung kes penyelewengan dana awam, tindakan PENAHANAN KERJA di bawah peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U(A)395/1993], akan dilaksanakan. Pihak KBS telah pun mengemukakan perakuan penahanan kerja pegawai tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi maksud pengeluaran perintah tahan kerja.
 
Sekiranya pegawai dituduh di Mahkamah atas kesalahan jenayah, pegawai akan diambil tindakan menurut prosedur di bawah peraturan 28 P.U(A)395/1993. Dalam hal ini, pegawai akan di TAHAN KERJA sehingga prosiding jenayah di Mahkamah terhadapnya selesai. 
 
Sekiranya pegawai didapati bersalah, pegawai akan di GANTUNG KERJA dan tidak dibayar apa-apa emolumen sehingga Lembaga Tatatertib memutuskan hukuman yang wajar dikenakan ke atasnya yang membawa kepada hukuman maksimum sehingga BUANG KERJA.
 
Pegawai juga akan disiasat bagi tindakan tatatertib berhubung isu penyelenggaraan taraf kehidupan yang melebihi emolumen atau pendapatan yang sah di bawah peraturan 11, P.U(A)395/1993.
 
PENEMPATAN PEGAWAI AWAM
 
Mengenai penempatan pegawai awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 Panduan Pertukaran Pegawai Awam menjelaskan bahawa Ketua Jabatan boleh:
 
i. menukarkan pegawai yang telah berkhidmat antara 3 hingga 5 tahun di suatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif. Jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif adalah jawatan di mana penyandangnya:
 
a. terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa menguatkuasakan undang-undang;
 
b. terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa memproses sesuatu permohonan yang boleh menghasilkan pulangan kewangan atau apa-apa bentuk habuan;
 
c. dikehendaki menjalankan tugas membuat bayaran kepada atau membuat kutipan hasil daripada pelanggan; dan
 
d. membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan budi bicara sama ada seseorang itu layak atau tidak layak mendapat sesuatu atau telah / tidak melanggar sesuatu peraturan atau undang-undang.
 
ii. menukarkan pegawai yang telah berkhidmat antara 3 tahun hingga 8 tahun di suatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif.
 
Umumnya pegawai akan ditukarkan mengikut ketetapan tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan perkhidmatan yang mana pengalaman dan pengetahuan pegawai diperlukan, dengan mengambil kira pandangan dan permohonan Kementerian, maka seorang pegawai akan dibenarkan untuk terus berkhidmat di Kementerian berkenaan. 
 
PENGAUDITAN OLEH JABATAN KETUA AUDIT NEGARA KE ATAS KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
 
Mengenai cadangan penubuhan Pasukan Siasatan Bebas, saya telah berbincang dengan YBhg Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Audit Negara supaya proses pengauditan dijalankan ke atas Kementerian Belia dan Sukan dan Agensi-agensi dibawahnya. Proses ini antara lain, akan meneliti peraturan kewangan yang berkuatkuasa daripada segi sejauh mana peraturan kewangan tersebut telah dipatuhi sepenuhnya oleh KBS serta mengenalpasti kelemahan-kelemahan prosedur kewangan. Jabatan Audit Negara akan melaporkan hasil pengauditan dan mengemukakan kepada Kerajaan penambahbaikan yang perlu dibuat
 
21 MAC 2016

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.