Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[UMRAH POLITIK] Shahbudin: Maaf Cakap, Sekarang ni, Antara Balik Umrah dengan Balik Melancong SUSAH Benar DICARI PERBEZAAN

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
[UMRAH POLITIK] Shahbudin: Maaf Cakap, Sekarang ni, Antara Balik Umrah dengan Balik Melancong SUSAH Benar DICARI PERBEZAAN
Umrah sepatutnya adalah ibadah kepada Tuhan dan merupakan komunikasi eksklusif antara kita sebagai hamba dengan Sang Pencipta. 

Oleh kerana pemergiannya yang jauh dan tidak tahu sama ada dapat kembali lagi tanahair atau habis umur di Tanah Suci, pemberitahuan kepada rakan-rakan dan saudara mara sambil bermaaf-maafan mungkin boleh diterima sebagai perkara biasa dalam konteks hubungan sesama manusia.

Tetapi hari ini ia sudah berbeza. Kita tahu seseorang itu pergi ke Mekah bukan kerana diberitahu atau orang berkenaan bermaaf-maafan dengan kita, sebaliknya melalui gambar-gambar dalam media sosialnya.

Dengan sibuk bergambar berlatar belakangkan Kaabah, ketika berdoa atau melakukan ibadah lainnya, apatah lagi memuatnaik dalam media sosial masing-masing, memperlihatkan seolah-olah umrah atau kunjungan ke Mekah bukan lagi sebuah ibadah.

Ia sudah menjadi pesta menunjuk-nunjuk kepada manusia lain tentang ibadah yang kita lakukan, lebih-lebih lagi jika melibatkan orang politik yang sentiasa menagih sokongan. 

Untuk apa di kongsi semua pergerakan ibadah kita, daripada bertolak di KLIA, bersaie, bertawaf, berdoa dan berselfie dengan macam-macam aksi?

Tuhan yang kita utamakan atau penghargaan manusia yang didambakan?
Sebab itu, pemergian Najib Razak menunaikan umrah baru-baru ini menimbulkan paling banyak percakapan umum mengenainya. Salahnya kerana Najib sendiri sibuk memuat naik di media sosialnya mengenai ibadah yang dilakukannya itu.

Oleh kerana beliau sedang dibelenggu dengan kemelut 1MDB dan wang berbilion-bilion yang masuk ke akaun peribadinya, apabila beliau sendiri menunjuk-nunjuk gambar ibadah umrahnya itu, ia tentu saja mengundang reaksi balas yang negatif mengenainya.

Bukankah lebih baik jika Najib tidak mempromosikan ibadahnya sendiri dan menjadikan perkara itu sebagai amalan peribadinya semata-mata?

Bukan saja Najib, sesiapa pun, jika berbuat demikian, pasti akan dikatakan mengamalkan politik umrah. Tambahan lagi, sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kerap benar Najib menunaikan umrah dan ia pula dipromosi sendiri oleh beliau melalui laman sosialnya.

Umrah yang merupakan ibadah juga membawa padah kepada Khairy Jamaluddin yang baru-baru ini dilaporkan membawa 191 Ketua-Ketua Pemuda dan Exco Pemuda UMNO menunaikan ibadah itu.

Walaupun KJ tidak memuatnaik sendiri gambar-gambar ketika di Mejah, tetapi ramai Ketua-Ketua Pemuda UMNO yang berselfie dan bergambar sesama sendiri membuatkan masalah lain pula menimpa dirinya.

Beliau kini dipertikaikan dari mana wang diperolehinya untuk membawa mereka yang seramai itu ke Mekah dan Pemuda Amanah juga sudah pun membuat laporan kepada SPRM mengenainya.

Selain isu wang yang dipertikaikan, timbul juga cakap-cakap di kedai kopi dan coffee house kononnya tindakan KJ itu ada kaitan dengan perancangannnya untuk bertanding Naib Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang ini.

Cakap-cakap itu masih berterusan, tambahan pula belum ada penjelasan lanjut diberikan sama ada oleh KJ atau pun Pemuda UMNO sendiri.

Meskipun membelanja rakan-rakan menunaikan umrah adalah juga suatu kebaikan, tetapi apabila timbulnya masalah-masalah seperti itu, ia akan menjadikan ibadah itu dilihat sebagai umrah politik berbanding matlamat sebenarnya untuk memperkukuh hubungan dengan Tuhan.

Dalam hal ini, ada baiknya jika ibadah haji, umrah atau kunjungan ke Kaabah hanya menjadi rahsia peribadi kita saja. Boleh bergambar dan berselfie bagai mengenainya, tetapi biarlah untuk simpanan peribadi dan keluarga saja.

Yang penting ialah biarlah  ibadah haji, umrah atau selepas kunjungan ke Kaabah itu menjadikan kehidupan kita lebih baik daripada sebelumnya sepertimana  zaman ibu bapa kita dulu di mana jika seseorang itu sudah menjejakkan kaki ke Mekah, perbezaan jalan kehidupannya boleh dilihat dengan nyata.

Tetapi, maaf cakap, sekarang ini antara yang baru balik Mekah dengan yang baru balik melancong di London, susah benar dicari perbezaannya. 
(Shahbudindotcom.blogspot.my 09/03/2016).

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.