CELAH GELEGAR
Injuksi halang RUU hudud ditangguh 5 Oktober
Kes permohonan untuk mencabar rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 untuk dibentangkan di Parlimen ditangguhkan pada 5 Oktober depan.
Penangguhan itu dibuat bagi mendengar keputusan mahkamah berhubung bantahan awal yang dibuat oleh defenden iaitu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speker Dewan Negara Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ditemui pemberita, peguam yang mewakili Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mahkamah hari ini sepatutnya mendengar dua permohonan dari pihak plaintif dan defenden.
Pihak plaintif memohon bagi mendapat perintah injuksi ke atas Abdul Hadi daripada membawa rang undang-undang persendirian itu ke Parlimen dan memohon speker menguruskan rang undang-undang persendirian itu.
Manakala, permohonan daripada pihak defenden pula ialah untuk membatalkan saman pemula yang dibawa oleh pihak plaintif.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, sebelum permohonan pihak plaintif dibuat, seorang lagi peguam yang mewakili Abdul Hadi, Datuk Sulaiman Abdullah membangkitkan satu bantahan awal yang mengatakan permohonan saman itu dibuat dengan tidak betul.
"Sebelum permohonan itu diteruskan, peguam kita, Datuk Sulaiman Abdullah telah bangkitkan satu bantahan awal mengatakan bahawa tindakan yang dibawa plaintif iaitu saman ini tidak betul.
"Kita sekarang membantah mengenai masalah prosedur. Apabila dia (plaintif) nak menyerang isu pentadbiran pihak berkuasa iaitu Parlimen, dia kena pergi kepada semakan kehakiman.
"Dia (plaintif) bawa saman pemula jadi kita berhujah atas bantahan ini dan dia membantah. Jadi mahkamah tetapkan 5 Oktober untuk keputusan bantahan awal ini," kata Takiyuddin kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan dan kira-kira lebih 20 orang penyokong parti Islam itu.
Selain itu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS itu juga berkata, sekiranya bantahan mereka diterima, semua saman yang dikemukakan oleh pihak plaintif terbatal.
"Kalau bantahan diterima maka semua saman ini akan batal, ditolak. Kalau mahkamah tak terima bantahan ini, kes akan diteruskan dengan dua permohonan ini," katanya lagi.
Jun lalu, empat individu memfailkan permohonan untuk mencabar rang undang-undang persendirian, bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud dibentangkan di parlimen.
Individu itu ialah Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu yang berhujah bahawa langkah tersebut bercanggah dengan Perlembagaan.
Mereka juga memohon injunksi bagi menghalang Dewan Rakyat membahaskan rang undang-undang tersebut.
Abdul Hadi pada Mac lalu mengemukakan notis bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.
Rang Undang-undang itu tidak dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini kerana kesuntukan masa dan terdapat urusan-urusan kerajaan lain perlu didahulukan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lepas. -MK
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.