AMIE'S LITTLE KITCHEN
Kek Hati Pari @ Parek Versi II
Hari ini....
Kita ketawa sorang-sorang di dapur! Kita tangkap gambar Kek Hati Pari Versi II ini sambil senyum tak sudah....
Alkisahnya begini:
Pada 16 September 2015 sempena cuti Hari Malaysia yang lalu, kita merajinkan diri buat adunan Kek Hati Pari @ Parek versi yang berbeza dengan yang sebelumnya DI SINI. Dah selesai mengukus, kita pun letaklah kek tadi dalam bekas tertutup dan ketepikannya di sudut dapur. Keesokan harinya Encik Suami tanya, dah potong kek ke? Kita jawab: belum lagi.
Lusa Encik Suami tanya lagi: Dah boleh makan ke kek tu? Kita jawab : Boleh. Nak makan ke? Tak pula dia jawab.
6 hari telah berlalu.
Malam tadi Amie pun buka bekas kek dengan harapn untuk melihat sendiri berapa lama kek ini boleh disimpan. Bila Amie buka bekasnya... yang tinggal hanya sepotong! Barangkali dalam 10 atau 12 cm panjangnya!
Amie tanya Encik Suami... dah makan kek ke?
Bawa pergi kampung sikit, bawa pergi sekolah sikit. Makan ramai-ramai. Itu jawabnya.
Tak perasan pulak bila Encik Suami potong dan bawa kek itu.
Sayanglah tengok kek tu terbiar tak dimakan, eloklah bagi kat orang.... katanya!
He he hee... tak apalah, Encik Suami dimaafkan kerana memanjangkan kek ini ke kampung dan ke tempat kerjanya.
Kita pun tak sampai hati nak bagitahu Encik Suami... sebenarnya kita nak tengok tempoh ketahanan kek ini jika disimpan dalam suhu bilik selain ingin melihat sendiri tahap kelembapannya. Dia pun sangka kita suka buat kek, tapi tak dimakan! He he hee... dengan tinggalan sepotong kek itu (nasib baik dia tinggalkan), dapatlah kita kongsikan di sini.
He he hee... apa tidaknya boleh buat ketawa sorang-sorang di dapur, sebab asyik tonggang-terbalikkan kepingan kek ni suruh dia posing elok-elok.... kih kihhhh!
Nampaknya Amie tak ada pilihan nak tunjukkan bahagian kek yang 'cantik' untuk paparan bersama. Ini sahajalah yang ada... tapi puas hati sebab setakat ini kek ini memang dalam keadaan elok sempurna.
Resepi Kek Hati Pari yang Amie kongsikan kali ini memang sedikit berbeza dengan kek yang pertama kali Amie hasilkan. Kalau dulu Amie hanya gunakan kismis sahaja, tetapi untuk kali ini Amie tambahkan serbuk horlicks, buah prune dan juga coffee emulco. Resepi asal gunakan coklat Cadbury tapi Amie tidak gunakannya, begitu juga dengan gula hitam. Amie hanya gunakan gula perang. Apa pun, hasil ubahsuai resepi ini tetap menghasilkan rasa yang cukup lazat! Terima kasih kepada penyumbang resepi, yang tiada namanya... semoga Allah membalas jasa baik anda berkongsi kek yang lazat ini. Bagaimanapun untuk mengekalkan keaslian kek ini, gunakanlah gula hitam jika ada.
Cuma, Amie tak berapa puas hati sebab kismis yang Amie tumbuk tak berapa halus.... adeeehhhh berpeluh-peluh menumbuk kismis! Kawan Amie kata dia rendam dulu kismis semalaman supaya lembut, senang nak tumbuk, tapi Amie belum cuba cari itu. Lain kali boleh cuba...
Di bawah ini Amie kongsikan resepi yang Amie telah buat. Amie buat 1/2 adunan dari resepi asal.
Bahan-bahan:
5 biji telur ayam gred A
1 cawan tepung gandum - ayak dengan soda bikarbonat
250 gram mentega tulen
2 gelas gula perang
200 gram kismis hitam - ditumbuk halus
100 gram prune - ditumbuk halus
1 sudu teh soda bikarbonat
1 cawan gula pasir yang dikisar halus - 1/2 cawan dibuat gula hangus
2 sudu besar coffee emulco
120 gram serbuk horlicks
Cara:
1. Campurkan kismis hitam dengan prune dan kemudian gaul dengan 2 sudu besar tepung gandum yang sudah diayak dengan soda bikarbonat. Ketepikan.
2. Pukul mentega bersama gula perang hingga sebati.
3. Masukkan telur satu persatu dan terus pukul hingga kembang.
4. Perlahankan kelajuan mixer dan masukan tepung, diikuti dengan kismis dan buah prune, coffee emulco dan 1/2 cawan gula pasir yang dikisar halus serta gula hangus.
5. Akhir sekali masukkan serbuk horlicks dan terus adun hingga sebati.
6. Tuangkan adunan ke dalam acuan loyang empat segi 8" X 8" yang telah diglis dengan mentega.
7. Tutup acuan dengan aluminium foil.
8. Kukus selama 4 jam (sebab buat 1/2 adunan).... adunan asal memakan masa selama 8 jam untuk mengukus!
Yang di bawah ini versi pertama yang gunakan banyak tepung gandum tu. Ada beza tak dengan kek versi kedua?
Wokeh!
Wokeh!
Jumpa lagi.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.