Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tragedi Mina: Sah tiada jemaah Malaysia terlibat

CELAH GELEGAR
Tragedi Mina: Sah tiada jemaah Malaysia terlibat
 
MAKKAH, Khamis – Semua jemaah Malaysia disahkan selamat dan tidak terbabit dalam insiden rempuhan di Mina yang mengorbankan lebih 400 nyawa setakat ini, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan di semua tujuh maktab Muassasah dan 15 syarikat pengelola jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn. Bhd., (pakej swasta), semua jemaah haji Malaysia disahkan selamat dan mereka hanya akan mula melontar di Jamrah Kubra di Mina itu mulai jam 5.30 petang ini (10.30 malam waktu Malaysia).

“Tiada jemaah Malaysia terbabit, semua pasukan unit peronda Tabung Haji juga sebenarnya telah membuat pemantauan sejak awal lagi (sebelum kejadian itu berlaku) bagi memastikan keadaan dan masa yang sesuai untuk jemaah haji memasuki kawasan untuk melakukan ibadat melontar itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu (waktu tempatan), lebih 400 jemaah haji dilaporkan terkorban manakala beratus lagi cedera dalam kejadian rempuhan berkenaan di kawasan perkhemahan jemaah dari negara-negara Arab.

Asyraf Wajdi turut kesal dengan laporan di media sosial berkenaan kononnya seorang jemaah wanita Malaysia turut maut dalam kejadian itu.

“Kematian Siti Haryati Shaikh Ali, 43, seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu disebabkan dia mengalami masalah sesak nafas, Allahyarham meninggal dunia di sisi suaminya di hospital di Makkah, dan bukannya terkorban dalam kejadian rempuhan itu,” katanya.

Katanya bagi musim haji 1436H setakat ini, sebanyak 16 jemaah Malaysia meninggal dunia, termasuk tujuh yang terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 Sept lepas.

Sembilan jemaah lain meninggal dunia akibat serangan jantung dan mengalami sesak nafas.

Berkenaan ibadat melontar, Asyraf Wajdi berkata jemaah Malaysia akan mula ke Jamrah Kubra mulai jam 5.30 petang ini.

“Jemaah Malaysia tidak akan melalui kawasan perkhemahan atau tempat berlakunya insiden rempuhan itu. Laluan jemaah Malaysia adalah bersama jemaah-jemaah dari Indonesia dan Turki.

“Berdasarkan maklumat unit peronda Tabung Haji, jemaah dari Turki telah pun selesai melakukan ibadat melontar di Jamrah Kubra hari ini,” katanya.

Lebih tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci bagi melaksanakan ibadat haji.

Jemaah haji termasuk jemaah Malaysia kini berada di Mina untuk mengerjakan ibadat melontar selepas bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah malam tadi.

Jemaah haji akan terus berada di Mina sehingga 11, 12 dan 13 Zulhijjah atau dikenali sebagai Hari Tasyriq untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamrah — Kubra, Wusta dan Sughra. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.