Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rizab TH: Pengerusi Tabung Haji, Azeez digesa beri penjelasan

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
Rizab TH: Pengerusi Tabung Haji, Azeez digesa beri penjelasan

SHAH ALAM – Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim digesa tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan paras rizab syarikat GLC itu kini mencecah negatif dan dijangka tidak berupaya membayar sebarang dividen kepada 8.8 juta pencarumnya pada tahun ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Abdul Azeez perlu mengesahkan bahawa Bank Negara Malaysia mengutuskan satu surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai kedudukan kewangan TH pada 2015.
“Apakah betul BNM turut menyebut di bawah peruntukan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1955, TH tidak boleh mengisytihar pengagihan dividen dan bonus kepada pendeposit sekiranya nilai aset kurang nilai kesemua obligasinya.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia mendedahkan TH kepada risiko pengeluaran depositi secara besar-besaran sekiranya jangkaan dividen pendeposit tidak dipenuhi atau memadai pada pandangan pendeposit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dilaporkan sebuah portal memberi amaran bahawa paras rizab semasa TH itu akan memberi kesan kewangan kepada kerajaan susulan Putrajaya menjamin sepenuhnya simpanan deposit syarikat GLC itu.
Zeti memberitahu Jamil disebabkan perkara ini, keberkesanan TH dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji mungkin terjejas.
Dalam suratnya kepada Azeez, Zeti berkata, TH mungkin terpaksa melupuskan aset pelaburannya pada skala besar dan masa yang singkat untuk memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Zeti, Jamil Khir dan Abdul Azeez tampil menjelaskan berhubung kemelut rizab TH tersebut.
“Sekiranya semua (dakwaan) itu benar, apakah ini menjadi punca kelewatan TH mengisytiharkan dividen dan bonus?
“Sekiranya (dakwaan) itu benar, mengapa TH masih melabur membeli tanah di Pusat Kewangan Tun Razak Exchange? Apakah ini keputusan PM atau Pengerusi TH? Apakah pelaburan tersebut telah menggawatkan lagi situasi kewangan di Tabung Haji?” soalnya lagi.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan juga menuntut penjelasan saman daripada Abdul Aziz.
Katanya, dua surat yang bertarikh 23 dan 25 Disember 2015 adalah mengenai kemerosotan kedudukan kritikal kewangan TH yang berkemungkinan boleh menjejaskan dana dan harapan pendeposit untuk menunaikan haji.
“Pengerusi LTH mesti tampil menjelaskan status dua surat berkenaan yang telah tersebar di media sama ada benar atau pun palsu. Sekiranya benar, beberapa langkah drastik mesti segera diambil bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan kedudukan kewangan TH.
“Perkara ini mesti dipulihkan bagi mengelakkan pasaran kewangan yang berkaitan akan turut terjejas termasuk kewangan negara yang menjamin keseluruhan dana pendeposit,” katanya dalam satu kenyataaan, hari ini. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.