CELAH GELEGAR
[JUAL ASET 1MDB = JUAL HARTA NEGARA] Wahid: Isu 1MDB selesai dua bulan lagi
Isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan diselesaikan sebelum akhir tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memberi kenyataan bahawa isu 1MDB akan diselesaikan dalam masa enam bulan bermakna sebelum hujung tahun ini," katanya.
Ia diberi penekanan lagi apabila kerajaan mengambil langkah proaktif antaranya menjual aset 1MDB dan menggunakan hasilnya untuk membayar dan mengurangkan hutang.
"Proses ini akan dijalankan secara mesra pasaran dan telus," katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab TV3 berkaitan topik, 'Ekonomi Negara' malam tadi.
Baru-baru ini, 1MDB mengumumkan bahawa paras hutangnya akan dikurangkan kepada kira-kira RM16 bilion daripada paras hutang syarikat.
Ini menunjukkan kejayaan pelan rasionalisasi 1MDB, yang turut mencerminkan minat pelabur antarabangsa dan domestik yang kukuh dalam Edra Energy dan Bandar Malaysia.- Bernama
MB Negeri Sembilan tak setuju 1MDB jual aset kepada firma asing
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan bantahan mengenai cadangan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mahu menjual aset tenaga Edra Global Energy Berhad kepada firma asing.
Menurut Utusan Malaysia, bantahan Mohamad adalah kerana bimbang tindakan menyerahkan kepada firma asing akan mendedahkan negara kepada risiko keselamatan.
"Saya bukanlah seorang yang anti terhadap perniagaan dilakukan oleh orang asing tetapi cadangan seperti ini secara umumnya tidak baik untuk negara.
"Secara peribadi saya meminta 1MDB, kementerian kewangan dan kerajaan agar memikirkan semua secara masak-masak dan banyak kali cadangan untuk melepaskan aset tenaga negara," katanya
Menurut Mohamad, seharusnya aset tenaga itu diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) walaupun tawaran yang dikemukakan lebih rendah sedikit berbanding firma asing.
Katanya, jika aset itu dimiliki TNB semua pihak terutamanya rakyat akan menikmati faedah lebih terjamin kerana aset berkenaan adalah milik tempatan.
MAPIM Bantah 1MDB Jual Tanah, Apa Beza Tindakan Ini Dengan MENGKHIANATI NEGARA?
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membantah pengumuman Perdana Menteri bahawa tanah milik 1MDB di bandar raya ini yang strategik dan bernilai tinggi akan dijual kepada syarikat daripada China dan Qatar yang menunjukkan minat bagi mengatasi hutang yang ditanggung oleh syarikat pelaburan milik kerajaan itu.
Mengulas perkara itu, Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid, tindakan itu disifatkan tidak masuk akal kerana boleh memusnahkan negara apabila aset terpenting negara dijual kepada syarikat daripada negara luar.
"Dalam pengisytiharan itu, beliau meminta diberi masa enam bulan untuk membaik pulih 1MDB yang bermasalah itu , tanah yang ada dalam milik syarikat itu bakal dijual kepada syarikat luar negara untuk mendapat keuntungan dan membayar hutang.
"Adakah ini caranya untuk mengatasi masalah hutang dengan cara menjual aset negara kepada pihak luar. Apa beza tindakan ini dengan mengkhianati negara?
Apabila hutang disebabkan oleh pinjaman yang tidak sepatutnya dibuat, mahu dilunaskan dengan menjual aset negara, itu sama sahaja dengan menjual negara sekaligus kedaulatannya," katanya.
Beliau menegaskan aset negara terutama tanah tidak boleh dijadikan komoditi untuk dijual dengan mudah hanya kerana sebuah syarikat kerajaan menghadapi masalah kewangan.
Tegas beliau, masalah 1 MDB adalah masalah pengurusan dan rencana bisnes yang salah.
Malangnya, operasi perniagaan yang dikatakan 1MDB itu nampaknya hanya bersifat jual beli hartanah dan bukan pelaburan yang sebenar.
Isu penjualan semula tanah TRX (Tun Razak Exchange) milik 1MDB yang dibeli oleh Tabung Haji juga katanya, membuktikan operasi 1MDB telah mengheret agensi tabungan awam yang lain untuk menyelesaikan hutangnya .
"Malangnya sehingga kini transaksi penjualan tanah TRX yang dikatakan dijual oleh Tabung Haji itu tidak jelas.
"Apakah yang bakal terjadi kepada aset hartanah negara jika cara begini dipilih untuk menyelesaikan kemelut hutang akibat dari pengurusan yang lemah," tambah beliau.
Justeru Mapim mengesa tanah strategik di bandar raya ini tidak dikorbankan kepada syarikat luar sebaliknya 1MDB perlu diambil alih bagi melakukan penstrukturan semula, manakala wang yang telah disalahguna mesti dipulangkan semula kepada kerajaan.
1MDB mendapat Tanah Kerajaan dengan Harga Sangat Murah
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendedahkan kerajaan menanggung kerugian RM25 bilion kerana menjual tanah kepada 1MDB di bawah harga pasaran.
Rakyat Malaysia yang risau dengan masa depan negara tentunya tertanya-tanya mengapakah kerajaan boleh membuat keputusan merugikan itu? Kerajaan bertanggungjawab menjaga asetnya yakni aset milik rakyat.
Tindakan kerajaan menjual tanah kepada 1MDB di bawah harga pasaran yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian adalah perbuatan tidak amanah.
Kerajaan sepatutnya mendahulukan kepentingan rakyat seperti yang dilaungkan Datuk Seri Najib Tun Razak setiap kali berucap sehingga jelas kelihatan urat-urat di kepalanya.
Rakyat Malaysia khususnya umat Islam sudahpun lupa kontroversi pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji tetapi persoalan mengapa 1MDB mendapat tanah dengan harga murah akan terus menjadi tanda tanya.
Penulis tidak nampak alasan tanah itu diberi atas dasar pembangunan untuk rakyat. Projek-projek yang dirancang di atas tanah itu hanya untuk orang kaya.
Sudah beli murah lepas itu jual dengan harga mahal. Mengapa? Tidak salah kalau orang menuduh 1MDB hampir muflis dan tidak mampu bayar hutang.
Berbalik kepada isu tanah, 1MDB telah membeli tanah di Jalan Tun Razak untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi.
Menurut Tun M, 1MDB membeli 70 ekar tanah di TRX pada harga RM320 juta iaitu RM64 per kaki persegi. Transaksi terakhir hartanah di kawasan itu adalah RM7,000 per kaki persegi.
IMDB juga membeli 495 ekar tanah di bekas lapangan terbang Tentera Udara Sg Besi (kini dikenali Bandar Malaysia) pada harga RM363.5 juta iaitu RM91 per kaki persegi. Jika mengikut harga pasaran, tanah itu lebih kurang RM1,000 per kaki persegi. 1MDB membelinya berlipat kali ganda lebih murah!
Tanah di TRX adalah berdekatan dengan tanah yang telah dijual pada harga RM7,000 per kaki persegi. Jika diambil harga pasaran pada RM3,000 per kaki persegi sekalipun, nilai tanah TRX adalah RM 6 billion. Oleh itu kerajaan telah kehilangan pendapatan sebanyak RM5 billion kerana 1MDB hanya membayar sejumlah RM320 juta.
Bagi tanah di Lapangan Terbang Sg Besi pula, 1MDB membayar RM363.5 juta untuk 495 ekar tanah (RM91 per kaki persegi). Jika diambil harga pasaran sekitar RM1,000 per kaki persegi, kerajaan telah kehilangan pendapatan lebih kurang RM20 billion.
Perbuatan kerajaan menjual tanah dengan harga murah ini amat dikesali dan dianggap mengkianati amanah rakyat. Harta kerajaan adalah hak milik rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia perlu bersatu menuntut penjelasan kerana kerajaan yang tidak amanah bukanlah kerajaan yang baik.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.