Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Masa depan parti lebih penting daripada 1MDB, kata Umno Semporna

CELAH GELEGAR
Masa depan parti lebih penting daripada 1MDB, kata Umno Semporna

Umno Semporna membidas langkah untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pemimpin parti hanya kerana membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menegaskan hari ini, masa depan parti adalah lebih penting.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Semporna melahirkan kekecewaan mereka berhubung khabar angin mengatakan ketua bahagian mereka, Datuk Seri Shafie Apdal, merupakan salah seorang daripada 7 pemimpin yang bakal berdepan tindakan tersebut, selain Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa yang lain.

"Adakah bersuara demi kepentingan rakyat bukan lagi menjadi keutamaan kepada Umno?

"Adakah syarikat 1MDB ini sudah menjadi institusi yang lebih penting, berkuasa dan lebih besar pengaruhnya berbanding parti Umno sehinggakan mana-mana pemimpin yang mengkritik cara pentadbiran dan pengurusan syarikat ini bakal berdepan dengan ancaman digantung, dilucut atau dipecat keahlian mereka?


"Adakah 1MDB ini milik Umno? Adakah dengan menyokong 1MDB ini dapat menguatkan parti?" kata Umno bahagian itu dalam satu kenyataan. Beberapa hari lepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, 7 pemimpin Umno sedang disiasat dan berdepan tindakan penggantungan keahlian kerana melanggar peraturan parti.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama-nama pemimpin tersebut.

Umno Semporna juga mahu membuat pertimbangan sebaiknya diambil terlebih dahulu sebelum membuat keputusan drastik hingga mengakibatkan Umno bertambah lemah.

"Adakah dengan penyingkiran, penggantungan dan pemecatan pemimpin dan bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada perjuangan parti ini dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti Umno?

"Sedarkah pemimpin serta setiausaha agong Umno, majoriti ahli parti dan rakyat percaya, pemimpin-pemimpin yang kononnya dikhabarkan sedang dipantau ini, sebenarnya menyuarakan isu yang sememangnya dekat dengan hati rakyat?

"Kuat sangatkah Umno pada hari ini hinggakan kita seolah-olah lupa asas kepada perjuangan parti adalah perjuangan untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan pemimpin," kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut juga mempertahankan Muhyiddin dan Shafie yang didakwa melanggar peraturan parti hanya kerana mengkritik 1MDB dan dipecat dari jemaah menteri pada hujung Julai lalu.

Umno Semporna juga mengingatkan kesan yang bakal dihadapi parti jika tindakan disiplin diambil terhadap kedua-dua pemimpin tersebut.

"Perlu kita ingat, setiap undi dan kerusi pada pilihan raya umum ke-14 akan datang adalah penting kepada survival Umno," kata kenyataan itu lagi, sambil menambah, tindakan disiplin itu hanya akan menghakis sokongan rakyat kepada Umno. – 30 Oktober, 2015. TMI


0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.