Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[DALAM UMNO SUDAH BERLAKU] Mungkinkah Malaysia Menjadi Argentina disebabkan CASH IS KING

CELAH GELEGAR
[DALAM UMNO SUDAH BERLAKU] Mungkinkah Malaysia Menjadi Argentina disebabkan CASH IS KING

DUA negara AA ini - Argentina dan Australia - adalah dalam kalangan lima negara terkaya, kalaupun tidak yang terkaya, dalam dunia kira-kira 100 tahun dahulu pada awal abad 20. Tanah rumput Pampas di Argentina merupakan satu-satunya yang paling luas, menghasilkan daging lembu dan gandum begitu lumayan sehingga dikatakan berperanan memberi makan kepada dunia. Begitu juga Australia.

Walaupun bukan negara Komanwel British, negara Amerika Selatan ini pernah bersama dengan Australia membuat perjanjian dengan United Kingdom (UK) membekalkan kedua-dua produk itu.  

Kedua-dua AA ini jelas sekali berteraskan industri agro walaupun sudah nyata waktu itu industri perkilangan sudah bertapak. Jika negara-negara maju seperti AS, UK, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun memerlukan besi, tembaga dan arang batu untuk industri perkilangan masing-masing, maka AA mampu juga menampung keperluan itu. Segalanya itu menuangkan banyak wang ke dalam perbendaharaan masing-masing.

Orang-orang kulit putih yang terdiri dari Inggeris, Itali, Sepanyol, Jerman, Perancis, Rusia malah Yahudi berhijrah ke sana. Justeru AA ini lebih bercirikan kulit putih walaupun masing-masing terletak di kawasan-kawasan yang bukan berwarna putih pada asalnya. Apa yang membezakan Australia dengan Argentina ialah pemerintahnya yang memimpin kerajaan masing-masing.

Walaupun ada langkah-langkah salah, Australia menunjukkan prihatin yang tinggi dalam mengamalkan demokrasi. Integriti pemimpin terjaga dengan baik dan terkawal. Wang negara tidak disalahgunakan. Walaupun jumlah penduduknya lebih kecil dari Argentina, Australia berjaya mengembangkan lebih banyak kota raya sebagai pencetus ekonomi. Ia ada Sydney, Melbourne, Brisbane, Adelaide dan Perth, sedangkan Argentina hanya berpuas hati dengan Buenos Aires.  

Ketika wang amat banyak, orang Argentina amat mewah dan berbelanja bagaikan tiada hari esok. Walaupun kini ia dianggap miskin, namun orang-orangnya masih terkenal kerana berpakaian bergaya.

Dua tahun dahulu saya berkunjung ke Argentina. Segala kata-kata itu terbukti betul. Orang Argentina adalah bergaya apabila berbaju seluar, bergaun dan skirt serta jean fesyen terkini. Bagaikan kena dengan gurau orang Perak: ‘Biar pape asal bergaye’.  

Menjelang zaman meleset tahun-tahun 1930an (the Great Depression), tentera mendapat peluang untuk melakukan perampasan kuasa. Sejak itu hingga sekian lama, Argentina tidak lagi melalui pertukaran kuasa aman melalui peti undi. Dari satu rampasan kuasa ke satu rampasan kuasa lain. negara menjadi huru-hara. Tata urus dan pentadbiran memastikan kekayaan bertukar menjadi kemiskinan.

Dalam keadaan takut, bimbang dan ragu, kerajaan menjadi kuku besi, media dan suara rakyat dikawal ketat, dan budaya penangkapan, pemenjaraan dan penyingkiran berleluasa. 

Terhakislah inisiatif rakyat. Walaupun Perang Dunia Kedua tidak merosakkan Argentina kerana ia terbatas di Eropah, namun bahangnya terasa. Kesalahan strategi yang tidak menyokong pihak berikat melawan Hiter dan Mussolini mengakibatkan Argentina diberikan layanan buruk oleh AS dan UK. Ini menggalakkan Juan Peron merampas kuasa pada 1946.

Kononnya marah kerana rakyat miskin tidak terbela, Peron melaksanakan sosialisme tersendiri yang dipanggil Peronisme: berbelanja demi rakyat tanpa had. Penghasilan rendah dibalas dengan ganjaran besar. Sejak itu lagi slogan cash is king sudah digunakan. Membelanjakan wang negara dan sumber-sumber lain - seperti yang diambil dari kocek golongan kroni kaya - meresahkan tentera.   

Akhirnya pada 1955, sekali lagi jeneral-jeneral merampas kuasa.  

Demokrasi dihumban ke dalam longkang. 

Pemerintahan kediktatoran  yang menyaksikan kawalan tuntas terhadap ciri-ciri amalan demokrasi berlaku. Penangkapan dan penghapusan individu secara bersiri berleluasa. Zaman hodoh itu bagaikan dirayakan di pentas teater di London. 

Pada 2014, saya menonton drama pentas yang sangat laku di sana, memaparkan kehodohan itu. Argentina disifatkan seperti seorang yang sudah memanjat tangga kekayaan. Ia hampir menyertai dunia pertama 80 tahun dahulu, tetapi tergelincir dan terus melorot ke bawah semula - hingga sekarang.

Malaysia diharapkan menjadi negara maju dan kaya menjelang 2020 nanti. Mudah-mudahan kita tidak mengulangi pengalaman Argentina. Buruk baiknya, biarlah kita jadi satu A sahaja:  Australia: kekal maju dan kaya.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.