CELAH GELEGAR
Tan Sri Adam A Kadir : PAC menyalak tetapi gigi rongak
ANJING’ banyak digunakan dalam ungkapan dan perbilangan dalam dunia bahasa Inggeris. Jika seseorang itu dikatakan seperti seekor anjing mengejar ranting kayu yang dicampak oleh tuannya, ia bermaksud anjing itu pandai bermanja dan bermesra. Tentunya maksud perbandingan begitu tidak sama dalam dunia budaya kita.
Perbandingan dengan anjing adalah amat negatif, apalagi melakukan sesuatu yang membazir atas suruhan orang lain. Ini membawa saya kepada pemakaian ungkapan Inggeris, ‘the toothless dog’ (‘anjing rongak’). Ia hampir sama dengan ungkapan ‘golok kayu’ dan ‘gendang kosong’. Yang satu gah dipandang mata tetapi sebenarnya tidak ada membawa kesan apa-apa. Yang kedua, lantang pada bunyi tetapi di'hapah'kan orang sebagai membising saja.
Saya tidak pernah menjadi ahli PAC, kependekan kepada Public Accounts Committee atau Jawatankuasa Kira-Kira Negara, sebuah badan di bawah Parlimen Malaysia. Sesuai dengan namanya, PAC yang dipadankan dari amalan Parlimen Westminster British di London ialah ‘watchdog’ ('anjing mengawas') kepada perihal wang negara - dari pengutipan kepada perbelanjaan hasil. Dengan penambahan ‘watchdog’ kepada ‘toothless dog’, ia melengkapkan satu proses tugas: dari mengamati dan mengawasi hingga akhirnya membawa kekandasan sama sekali.
Mereka yang menganggotai PAC itu sedar bahawa badan itu adalah ‘toothless dog’ dan mereka kerap berhumor tentangnya, tetapi sebagai satu realiti kerjaya politik, mereka menerima saja lantikan mereka ke situ daripada pemimpin di atas.
Risiko menolaknya adalah parah: kemungkinan besar mereka tidak akan diberikan jawatan Kabinet atau di tempat-tempat lain suatu hari nanti. Dulunya, yang dilantik pengerusi adalah seorang ‘backbencher’ (ahli parti kerajaan yang tidak berjawatan dalam kerajaan), begitu juga kebanyakan ahli-ahlinya. Ada yang kekal di tahap MP biasa dan ada yang naik menjadi ahli Kabinet dan seterusnya.
Bagaimanapun PAC adalah badan penasihat: memberi maklumat dan merekomenkan tindakan. Jika sebarang pihak tidak bertindak ke atas maklumat dan rekomendasinya, maka habislah segalanya di situ, walaupun PAC itu terus ada dan terus bermesyuarat dan terus menjadi tajuk berita.
Jika kita secara muhibah bertanya orang seperti Datuk Ismail Said, Thamrin Ghaffar, Tan Sri Azmi Khalid (semua mantan MP), Tan Sri Shahrir Samad, Datuk Seri Rahman Jalal dan Datuk Jazlan Mohamad tentang kemustahilan tugas PAC, mereka mungkin angguk dan memberikan senyuman sinis.
Di United Kingdom (UK), ketika saya berkunjung di parlimen di London, ada satu butiran mesyuarat yang menyentuh soal PAC di sana dan PAC di kebanyakan negara-negara Commonwealth, memandangkan ada hadirin dalam mesyuarat itu menjadi ahli PAC di parlimen masing-masing. Nyata sekali PAC di UK, Kanada, New Zealand dan Australia bergigi tajam, tidak dipandang ringan, sedangkan media menerawangkan segala yang dianggap tidak betul seperti laporan PAC sebagai berita utama.
Sebabnya? Itu wang rakyat, kata mereka. Manakan tidak, seorang menteri UK yang dianggap potensi perdana menteri terpaksa meletak jawatan apabila didapati membuat tuntutan elaun yang salah.
"Orang yang tidak amanah dalam perkara kecil pasti menjadi lebih tidak amanah dalam perkara besar," tambah mereka.
Dari rekod sebuah akhbar harian bertarikh 25 Oktober 2013, pengerusi PAC Malaysia waktu itu membiarkan saja badan pelaburan rakyat yang terbesar mengambil tindakan undang-undang menahan akhbar itu daripada menyiarkan laporan kritis terhadapnya. Itu tentunya terlingkung dalam tanggungjawab PAC. Sikap membiarkan saja tingkah-laku buruk badan itu tentunya bukan suatu resipi yang baik untuk PAC.
Apabila beberapa ahli PAC baru-baru ini disingkir, tanpa sebab-sebab persis yang diberikan, ia hanya membuktikan satu sikap yang tidak hormat terhadap keanggotaan PAC, justeru PAC sendiri.
Dipercayai PAC pasca penyingkiran itu berada dalam keadaan serba salah: bagaimana hendak bertugas sebetulnya. Ini adalah cabaran besar bagi pengerusi baharu PAC, Datuk Hassan Ariffin, yang juga mantan Timbalan Menteri Besar Pahang.
Saya teringat lirik lagu klasik Melayu nyanyian Allahyarham R Azmi: ‘Buat salah, tak buat salah. Jadi semua serba salah.’ Buat juga! Jangan tak buat!
* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.