Tinjauan Utusan Malaysia di Stesen KL Sentral mendapati, majoriti pengguna meluahkan rasa kecewa dan berharap kerajaan mengkaji semula kenaikan tambang tersebut.

Kakitangan swasta, Azizan Mat Ariff, 55, berkata, pengangkutan awam yang pada awalnya disediakan untuk memberi kemudahan kepada rakyat, kini dilihat menjadi beban.

“Sekiranya dahulu orang ramai digesa menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan kos hidup, namun apa yang berlaku sekarang tambang pengangkutan awam pula dinaikkan.

“Kenaikan ini sangat mendadak sehingga lebih daripada separuh harga dan saya tidak lihat perkara positif ke atas kenaikan itu, selain membebankan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mazlina Khairuddin, 39, pula berkata, di saat pelbagai barang mengalami kenaikan harga, kenaikan tambang ini tidak sewajarnya berlaku.

“Pelbagai barangan sedang mengalami kenaikan harga seperti kenaikan harga tol dan dengan adanya cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas setiap barangan.

“Dengan penurunan 10 sen harga petrol semalam, ia masih tidak mampu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dengan menaikkan kadar tambang tinggi terhadap pengangkutan awam hari ini,” kata kerani di sebuah syarikat insurans itu lagi.


Bagi kakitangan swasta, Nor Aini Omar, 57, berkata, dia turut tidak bersetuju dengan kenaikan tambang tersebut sewaktu ekonomi sedang merudum.

“Majoriti pengguna pengangkutan awam ini adalah golongan berpendapatan rendah, kenaikan tersebut hanya akan membuat rakyat terbeban dan tidak mustahil akan mengalami tekanan hidup,” katanya.

Kadar tambang baharu perkhidmatan Komuter KTMB menyaksikan kenaikan daripada 40 sen satu kilometer dengan kenaikan maksimum RM7.10 bagi satu perjalanan manakala LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan Monorel RapidKL mengalami peningkatan sebanyak RM1 hingga RM4.40.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puchong Jaya, Nurfatin Nabilah Syainuddin, 15, berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu tentang kenaikan harga tambang tersebut.

“Saya sedia maklum dengan kenaikan tambang yang akan berkuat kuasa hari ini tetapi tidak menyangka kenaikannya sebanyak itu. Kebiasaannya dalam satu perjalanan untuk pulang ke rumah di Puchong saya akan membayar RM1.70 tetapi hari ini dicaj sehingga RM2.40,” katanya yang menggunakan perkhidmatan KTM untuk ke sekolah.

Dalam pada itu, penuntut kolej swasta, Firdaus Hafizi, 19, berkata, pengguna perlu diberi penjelasan yang lebih terperinci daripada pihak berwajib berkaitan peningkatan harga tambang tersebut.

“Jika dahulu kerajaan menjanjikan tidak akan ada kenaikan tambang bagi pengangkutan awam tetapi sekarang kenaikan itu berlaku. Saya sendiri terkejut dengan kadar kenaikan itu.

“Jadi kerajaan perlu memainkan peranan bagi memberi penjelasan kepada rakyat kerana mereka mempunyai hak untuk tahu sebab musabab kenaikan tambang itu supaya pengguna tidak memberontak,” katanya.