Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BRELFIE( BREASTFEEDING + SELFIE) Saranan Mufti Wilayah Persekutuan:

CELAH GELEGAR
BRELFIE( BREASTFEEDING + SELFIE) Saranan Mufti Wilayah Persekutuan:
[BRELFIE]
Tiada manusia yang waras boleh menafikan kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi yang masih kecil. Bahkan, dalam tradisi ilmu Islam, penyusuan susu ibu dibincangkan dengan terperinci kesannya dalam isu mahram, aurat dan pembatal wudu'.
Namun, disebalik kebaikannya, tersirat beberapa perkara yang berkaitan dengan adab dan rukun, manusia dengan manusia, darihal penyusuan yang perlu diambil perhatian. 
Jika rukun sosial tersebut tidak diperhati dengan baik, ditakuti membawa kepada keburukan seperti yang berlaku di negara ini beberapa hari yang lalu.
Oleh itu, Bayan Linnas kali ini ditulis, dalam kerangka tahsiniyyat, memberi penjelasan kepada persoalan; adakah perbuatan brelfie (breastfeeding + selfie) ma`ruf dan diterima dalam masyarakat Islam di Malaysia. 
بسم الله الرحمن الرحيم
Mukadimah
Berkenaan soalan di atas  yang mana isu ini telah menjadi viral setelah segelintir ibu-ibu di Malaysia memuatnaik gambar mereka di media-media sosial ketika sedang menyusukan bayi mereka, ianya perlulah dinilai dari kacamata syara’ dan juga keluhuran akhlak islamiyyah dan moral.

Islam amat menitikberatkan  persoalan nafkah isteri dan anak-anak. Bermula di awal alam perkahwinan sehinggalah berkembangnya keluarga itu maka Islam ada hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Salah satu daripadanya ialah menyusukan bayi atau di dalam istilahfiqhnya dinamakan al-Rido’ ( الرِّضَاعُ ) ataupun al-Rado’ ( الرَّضَاعُ ).

Mengikut pengistilahan para ulama, al-Rido’ bermaksud kata nama yang bertujuan untuk menyampaikan susu seorang perempuan ataupun apa yang terhasil daripada susunya ke dalam perut bayi. [Lihat Ifadah al-Raghibin Syarh Minhaj al-Tolibin oleh Prof. Dr. Mustafa al-Bugha, 3/1446]

Ianya satu bab yang sangat penting di dalam fiqh kerana dengannya boleh tersabit hukum mahram disebabkan oleh penyusuaan dan mengakibatkan beberapa hukum-hakam yang berkaitan dengan nasab.

Hukum Menyusukan Anak
Asal pensyariatan menyusukan anak adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.
(Al-Baqarah: 233)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat ini adalah petunjuk buat para ibu agar menyusukan anak-anak mereka dengan sempurna iaitu selama dua tahun dan jika melebihi dua tahun ianya tidak mendatangkan hukum haram. Namun arahan ini bukanlah bersifat wajib tetapi ianya bersifat istihbab (sunat) seperti dinyatakan oleh al-Imam al-Baghawi Rahimahullah di dalam tafsirnya. Ini juga berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فَ‍َٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأۡتَمِرُواْ بَيۡنَكُم بِمَعۡرُوفٖۖ وَإِن تَعَاسَرۡتُمۡ فَسَتُرۡضِعُ لَهُۥٓ أُخۡرَىٰ 
Maksudnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. 
(Al-Talaq: 6)
Sifat Malu, Wanita & Islam
Malu itu adalah perhiasan wanita. Al-Quran juga tidak lepas dari memperkatakan tentangnya. Firman Allah SWT:
فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَىٰهُمَا تَمۡشِي عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ قَالَتۡ إِنَّ أَبِي يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَاۚ
Maksudnya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami".
(Al-Qasas: 25)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menunjukkan kepada mulianya keturunan dan baik akhlaknya. Sesungguhnya malu itu adalah dari akhlak-akhlak yang terpuji khususnya pada wanita. [Lihat Tayseer al-Karim al-Rahman, hlm. 614]

Kami melihat isu ini adalah isu akhlak dan juga nilai moral yang perlu dititikberatkan oleh setiap muslim dan masih boleh diperbetulkan dan diluruskan. Hukum menyusukan anak di tempat awam dengan menjaga aurat dan adab adalah dibolehkan namun yang menjadi masalahnya di sini apabila perbuatan memuatnaik gambar sedang menyusukan anak di media sosial dan menjadi ratapan ribuan mata yang melihatnya.

Sebelum adanya media-media sosial, para ibu dahulu juga menyusukan anak-anak mereka di tempat awam meskipun pada waktu itu kemudahan awam tidaklah semoden kini. Ibu-ibu pada waktu tersebut juga menyedari akan kebaikan susu ibu buat bayi dan mereka menyusukan bayi mereka demi memenuhi kewajipan sebagai seorang ibu. Namun, apabila melihat kepada tanggungjawab dan  kesedaran para ibu tersebut, kita melihat para ibu dahulu amat menitikberatkan soal akhlak dan moral meskipun pada asalnya perbuatan tersebut tidaklah salah.

Rasulullah SAW selalu mengingatkan kita tentang perihal pentingnya akhlak dan salah satunya adalah sifat malu. Bahkan malu itu juga sering dikatkan dengan perihal iman seseorang. Sabda Rasulullah SAW:
الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
Maksudnya: Iman itu lebih dari enam puluh cabang dan malu itu satu cabang dari iman.
Riwayat al-Bukhari (9)

Begitu juga dalam satu hadith yang menyifatkan Nabi SAW sebagai seorang yang sangat pemalu. Ini berdasarkan hadith Abu Sa’id al-Khudri RA:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَشَدَّ حَيَاءً مِنَ الْعَذْرَاءِ فِي خِدْرِهَا
Maksudnya: Adalah Nabi SAW itu tersangatlah pemalu orangnya mengalahkan anak-anak dara di dalam kelambu.
Riwayat al-Bukhari (6119)

Dalam hadith yang lain, dari ‘Imran bin Husayn RA, Rasulullah SAW bersabda:
الْحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلاَّ بِخَيْرٍ
Maksudnya: Malu itu tidak datang kecuali dengan kebaikan.
Riwayat al-Bukhari (6117) & Muslim (37)

Dalam banyak-banyak hadith yang menceritakan tentang sifat malu, terdapat satu hadith yang sangat terkesan maknanya iaitu sabda Rasulullah SAW yang berbunyi:
إِذَا لَمْ تَسْتَحِي فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: Jika kamu tidak merasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu inginkan.
Riwayat al-Bukhari (6120)

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah dalam mensyarahkan hadith tersebut menyatakan bahawa jika sesuatu perkara tersebut tidak memalukan, maka lakukanlah manakala jika ianya suatu perkara yang memalukan, maka tinggalkan ia. [Lihat Fath al-Baari, 10/523]

Menyusukan anak bukanlah sesuatu perkara yang memalukan kerana ianya adalah perkara yang menjadi kebiasaan para ibu. Begitu juga apabila melihat kepada bayi yang mana akan menangis apabila kelaparan dan tidak mengenal erti di mana sahaja, maka seorang ibu itu perlu bersedia di mana sahaja untuk menyusukan anaknya. Keadaan begitu difahami oleh masyarakat setempat namun perbuatan memuatnaik gambar sedang menyusukan anak ke laman sosial amatlah tidak menepati ciri-ciri akhlak Islami yang sebenar yang mana boleh mengundang fitnah ke atas diri ibu tersebut.

Kisah Ibrahim al-Nakha’ie Bersama Anak Muridnya
Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu berkata si buta dipimpin si rabun lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”. Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selemat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”. [Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jawzi, 7/22]

Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh kita kawal dari mengumpat dan mencaci maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

Begitulah realiti pada masa kini. Janganlah kita cuba untuk menempah fitnah dengan perbuatan kita yang pada asalnya tidak bermasalah namun jika tidak kena cara dan tempatnya boleh mengundang fitnah. Mentaliti dengan mengatakan, “Biarlah aku nak buat apapun. Kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala” sangat tidak selari dengan prinsip dan akhlak Islami yang mana suka akan ditutupnya pintu-pintu fitnah dari tersebar luas.

Saranan Kami
Pertamanya, kami rasakan isu ini lebih kepada tersilap dalam percaturan dan kami amat memahami situasi yang berlaku itu. Justeru,apa yang perlu adalah mengambil iktibar dengan hal yang terjadi supaya ianya tidak diulangi lagi. Di sini, ingin kami kemukakan beberapa saranan, antaranya:

Pilihlah tempat yang tertutup ketika menyusukan bayi mekipun di tempat awam.Tidaklah perlu selfie ketika menyusu sekalipun menutup aurat.Pilihlah pakaian yang sopan, menutup aurat yang mana akan menyenangkan proses penyusuaan bayi.Berbincanglah dengan suami cara yang terbaik untuk selesaikan isu penyusuaan anak.Kemudahan-kemudahan seperti bilik khas untuk menyusukan bayi perlu banyak diasaskan terutamanya di tempat-tempat awam, pusat-pusat membeli belah dan juga tempat-tempat yang difikirkan perlu.

Semoga Allah SWT merahmati kita dan menunjukkan kita jalan yang benar dalam melayari bahtera kehidupan  serta meraih keredaannya. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

13 Januari 2016 bersamaan 3 Rabi’ al-Akhir 1437H

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.