Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

(PEGUAM, KERJAYA BARU GANI PATAIL) Gani mohon masuk ke Majlis Peguam & memulakan "chambering" (latihan amali) minggu ini

CELAH GELEGAR
(PEGUAM, KERJAYA BARU GANI PATAIL) Gani mohon masuk ke Majlis Peguam & memulakan "chambering" (latihan amali) minggu ini
Kurang 3 bulan selepas bersara daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersedia menjadi peguam selepas kini menyertai Majlis Peguam.
Menurut sumber, Gani memfailkan petisyen untuk diterima masuk ke Majlis Peguam di Mahkamah Tinggi awal bulan ini untuk memulakan "chambering" (latihan amali) di bawah peguam Ragunath Kesavan, bekas presiden majlis itu.
Gani mula bertugas minggu ini.
Sumber berkata, Gani, yang berkhidmat selama 35 tahun, sebenarnya boleh menulis surat kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi mendapat pengecualian daripada menjalankan latihan sebelum layak memasuki Majlis Peguam.
Bagaimanapun beliau tidak berbuat demikian.
"Di bawah Akta Profesion Undang-undang (LPA), peguam negara boleh mengeluarkan suatu perakuan pengecualian kepada bekas ahli yang sekurang-kurangnya setahun dalam perkhidmatan (kehakiman dan undang-undang)," kata pensyarah undang-undang Surdev Singh.
Sumber berkata, Gani dijangka memohon pengecualian daripada melalui latihan guaman selama 9 bulan yang wajib dilalui peguam baharu.
"Di bawah LPA, Majlis Peguam mempunyai budi bicara memberi Gani pengecualian sebelum diterima masuk ke Majlis Peguam," kata Surdev.
Amalan biasa bagi seorang graduan undang-undang baharu adalah perlu melalui tempoh 9 bulan latihan (chambering) di bawah seorang peguam kanan yang berpengalaman sekurang-kurangnya 7 tahun.
Ragunath mengesahkan kepada The Malaysian Insider, Gani menjalani latihan di bawahnya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
The Malaysian Insider difahamkan Gani, yang berasal dari Lahad Datu, Sabah bercadang untuk memulakan firma guamannya sendiri.
Gani dipecat secara mengejut pada 27 Julai lalu ketika beliau sedang menganggotai pasukan petugas khas yang menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai peguam negara selama 13 tahun dari 2003, kekal dalam perkhidmatan sehingga 60 tahun, umur persaraan wajib penjawat awam.
Bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador pada Oktober lalu berkata dalam satu surat terbuka kepada kerajaan, Gani harus tampil menjelaskan isu berkaitan 1MDB, kerana bekas peguam negara itu kelihatan "senyap" selepas dipecat.
Gani yang merupakan graduan universiti tempatan pertama memegang jawatan berprestij itu menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu.
Kerjaya Gani bermula pada 15 April, 1980 dengan pelantikan sebagai timbalan pendakwa raya di Kota Kinabalu, Sabah, negeri kelahirannya.
Pada 1985, beliau dilantik sebagai peguam kanan persekutuan di Sabah dan kemudian menjadi ketua pendakwaan di Jabatan Peguam Negara pada 1994.
Beliau juga merupakan ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa serta pesuruhjaya penyemak undang-undang sebelum dilantik kali kedua sebagai ketua pendakwaan pada 2000 dan kemudiannya sebagai peguam negara.
Antara peristiwa besar dalam kerjaya Gani sebagai pendakwa raya adalah memastikan sabitan rasuah terhadap bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 1993.
Beliau juga menjalankan pendakwaan terhadap bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo atas tuduhan rasuah.
Sabitan Khir dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada September lalu.
Gani turut terlibat dalam proses pendakwaan terhadap bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada 2008 dan 2 bekas pegawai polis dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Mahkamah Persekutuan pada awal tahun ini mengesahkan sabitan Anwar dan anggota polis itu, di tengah-tengah kontroversi yang membawa kepada soalan mengenai kesaksamaan Gani.
Sebagai pendakwa raya utama dalam kes liwat pertama Anwar pada 1998, Gani dikaitkan dengan perbuatan memalsukan bukti dalam "insiden mata lebam" selepas penahanan Anwar pada 21 September pada tahun itu.
Anwar dibebaskan daripada tuduhan salah laku seksual oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004.
Gani menerima kritikan pada akhir 2013 apabila bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dibebaskan daripada tuduhan menipu Kabinet kerana gagal mendedahkan urus niaga berkaitan pembelian tanah projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Beliau juga dikritik kerana menggugurkan pendakwaan tahun lepas terhadap seorang lagi bekas menteri pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy membabitkan 3 pertuduhan menipu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkaitan kerja pembangunan PKFZ.
Lain-lain pendakwaan yang digugurkan di bawah Gani termasuk pembebasan mendiang hartawan Tan Sri Eric Chia kerana melesapkan RM76.4 juta dan pembebasan bekas menteri pembangunan tanah dan koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam kerana rasuah dan penipuan melibatkan saham milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah. – 1 Januari, 2016.TMI

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.