Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[SELEPAS STADIUM CAT PINK] Vida Mahu Warna Pink Di Atas Padang pula

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
[SELEPAS STADIUM CAT PINK] Vida Mahu Warna Pink Di Atas Padang pula

PETALING JAYA: Selepas Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru, Kelantan dipercantikkan dengan warna merah jambu dan putih, penggunaan warna asas produk kecantikan Qu Puteh itu turut akan diterapkan di atas padang.
Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman kini sedang mempertimbangkan untuk menggantikan jaring gawang gol di stadium keramat itu dengan warna merah jambu.
"Banyak benda yang perlu dipercantikkan. Bukan sahaja setakat mengecat bahagian dalam dan luar stadium tetapi saya juga sedang mempertimbangkan untuk memasang jaring gawang gol berwarna pink.
"Alang-alang jersi dan stadium berwarna pink, apa salahnya jika kita ganti jaring gawang gol kepada warna yang sama. Barulah nampak 'striking' ditambah pula dengan pancaran lampu 'Pamoga Qu Puteh'," katanya kepada mStar Online.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata akan memaklumkan mengenai hasratnya untuk menggantikan jaring gawang gol tersebut kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.
"Saya akan utarakan permintaan ini kepada Annuar dengan segera. Saya rasa tiada masalah kerana ia warna yang sama digunakan pada stadium dan jersi pasukan," katanya.
Justeru, Vida mengalu-alukan syarikat pembekal jaring gawang gol di negara ini untuk mengemukakan senarai sebut harga kepada beliau dengan segera.
"Mana-mana pembekal yang menawarkan jaring gawang gol berkualiti dengan harga berpatutan amat saya alu-alukan memandangkan aksi Liga Super semakin hampir.
"Lagi cepat dan ramai pembekal yang tampil dengan sampel (jaring) dan sebut harga mereka lagi bagus. Kita perlu pasang sebelum perlawanan sepak mula," katanya.
Terdahulu, pasukan Johor Darul Ta'zim menggunakan jaring berwarna merah dan biru, warna asas bagi skuad Harimau Selatan itu.
Sementara itu, mengulas mengenai warna cat merah jambu yang akan digunakan untuk mengecat Stadium Sultan Muhammad IV, Vida meminta syarikat kontraktor yang dilantik menguruskan kerja mengecat tersebut berbincang dengan beliau agar tidak timbul sebarang masalah.
"Mereka (kontraktor) belum tunjuk sampel warna cat merah jambu yang akan digunakan. Saya minta mereka berunding dengan saya untuk elak masalah di kemudian hari," katanya.
Pada masa sama, Vida berharap agar kerja-kerja mengecat stadium dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan memandangkan warna cat merah jambu yang dikehendakinya hampir ditemui.
"Sebelum ini, saya tidak berkenan dengan sampel warna merah jambu yang dikeluarkan. Namun saya harap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana warna yang saya nak itu hampir ditemui," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.