CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
Debat Zamihan-Maza BATAL atau DITUKAR kepada Diskusi Kecil Tertutup?
Apa sudah jadi dengan debat dua tokoh agama berbeza pandangan yang mengundang perhatian meluas rakyat Malaysia?
Tengah malam semalam, penganjur mengumumkan debat antara Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan pegawai agama di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin ditukar kepada diskusi kecil dan tertutup.
Tetapi petang ini, penganjurnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan ia dibatalkan terus.
“Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, maka diskusi berskala kecil atas tajuk ekstremisme agama di Malaysia juga terpaksa dibatalkan,” kata Shahidan.
Beliau tidak mengumumkan sebab-sebab pembatalan itu tetapi berkata dimaklumkan sebuah akhbar juga berminat menjalankan wacana berkaitan isu itu melibatkan dua ustaz itu.
Sementara itu, malam tadi, Shahidan berkata kedua-dua pihak telah menyatakan persetujuan berdebat esok dan “tidak timbul soal jemputan dan sebagainya” kerana perbincangan telah dibuat dua kali dengan Zamihan dan wakilnya.
Perkara ini, kata Shahidan, telah mendapat publisiti yang luas dan berlakulah polemik dalam media sosial sehingga kini.
“Saya tidak pernah sebut perkataan debat sebaliknya saya ulang berkali kali perkataan wacana atau diskusi ilmu.
“Tanpa menceritakan apa yang berlaku maka saya ingin umumkan bahawa wacana tersebut dibatalkan,” katanya lagi.
Memohon maaf dengan pembatalan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak membiarkan apa-apa isu berlarutan dengan persepsi “tetapi paparkanlah fakta serta-merta untuk mengelakkan buruk sangka dan fitnah dari berleluasa”.
Sementara itu, Asri dalam Facebook beliau pagi tadi berkata “setakat masa ini” diskusi llmiah ekstrimisme agama di Malaysia antara beliau dengan Zamihan akan berlangsung esok, pada jam 8.30 malam dan dianjurkan Sinar Harian.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.