Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kenduri kahwin DALAM AIR

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
Kenduri kahwin DALAM AIR


TUMPAT – Fenomena air pasang besar yang melanda daerah ini menyebabkan dua pasangan pengantin baharu di Kampung Baru Nelayan terpaksa melangsungkan majlis kenduri kahwin dalam keadaan digenangi air, petang kelmarin.

Bagaimanapun, kenduri kahwin pasangan Nursyahirah Abdul Samad, 26 dan Mohd Hafiz Junoh, 29 serta Mohamad Syafiq Abdul Samad, 24 (adik lelaki Nursyahirah) dan Nur Farawahida Basiran, 22, itu diteruskan dengan penuh meriah, meskipun tetamu terpaksa makan dalam keadaan air separas betis.

Air naik ke paras paha

Bapa pengantin, Abdul Samad Salleh, 53, berkata, pekarangan rumahnya dinaiki air pada jam 3.30 petang ketika masih ramai tetamu menjamu selera dan surut jam 3 pagi.

Menurutnya, bagi yang pertama kali mengalami keadaan itu, mungkin menganggap ia situasi menakutkan kerana khuatir banjir berlaku disebabkan paras air semakin meningkat.

“Mula-mula air naik paras buku lali, kemudian mencecah paras betis hinggalah paras paha pada jam 10 malam. Keadaan agak kelam kabut kerana tetamu terpaksa meredah air. Meja makan pun berada dalam air. Pihak katering juga mula risau air semakin naik sedangkan mereka perlu menghidangkan makanan kepada tetamu.

"Bagi kami sekeluarga, ia fenomena biasa setiap kali musim air pasang besar kerana rumah kami tidak terkecuali dilimpahi air laut,” katanya.

Menurut Abdul Samad, majlis perkahwinan anak perempuan sulung dan sambut menantu yang diadakan serentak itu akan menjadi kenangan terindah buat mereka sekeluarga yang terpaksa melangsungkan majlis di dalam air.

Katanya lagi, pekarangan rumahnya mudah dinaiki air setiap kali air pasang besar kerana terletak berhampiran dengan paya bakau.

“Paya bakau ada di belakang rumah. Waktu biasa air kering, tetapi kalau musim air pasang besar, air penuh di dalam paya bakau dan melimpah masuk ke pekarangan kediaman. Air tak masuk dalam rumah sebab rumah dibina tinggi,” katanya.

Fenomena air pasang besar turut melanda beberapa kampung di sekitar daerah ini antaranya Jubakar Pantai, Tanjung Che Mas dan Pak Jah, termasuk sekitar Pantai Sri Tujoh yang dilimpahi air laut hingga ke pekarangan restoran terapung.

Air laut limpahi tapak gerai

Kejadian air pasang besar luar biasa turut menyebabkan beberapa peniaga di pesisir Pantai Sri Tujoh terpaksa menutup perniagaan lebih awal apabila tapak gerai mereka dilimpahi air laut.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan air pasang besar melimpah ke kawasan gerai menjual air minuman, keropok goreng, aiskrim dan jagung bakar di pesisir pantai menyebabkan kira-kira 10 peniaga menutup gerai lebih awal.

Peniaga, Zulkifli Yaakob, 27, berkata, air laut yang melimpah naik ke darat itu tiba-tiba memenuhi pekarangan gerai sosej dan keropok goreng miliknya.

Berikutan kejadian itu, dia mengambil keputusan mengemas gerainya lebih awal setelah melihat air semakin naik dan angin bertiup kencang.

“Ketika sedang berniaga, tiba-tiba air naik mendadak dari arah belakang gerai, dari lagun Sri Tujoh. Angin bertiup kencang, payung gerai pun macam nak terbang. Bimbang keadaan semakin teruk, saya kemas apa yang patut.

“Walaupun banyak lagi makanan tak habis dijual, saya terpaksa,” katanya yang berniaga bersama ibunya, Zainab Isa, 60.

Menurut Zulkifli, sejak dia berniaga di situ tiga tahun lalu, itulah pengalaman pertama melihat air pasang besar luar biasa.

Katanya, walaupun penduduk di pinggir Pantai Sri Tujoh sudah biasa berdepan dengan fenomena air pasang besar, tetapi kejadian kali ini amat menakutkan kerana air melimpah hingga ke darat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, fenomena air pasang besar itu sama seperti kejadian pada 25 Januari lalu.

Menurutnya, walaupun beberapa kawasan seperti Kampung Tanjung Kuala, Kampung Baru Nelayan dan beberapa kampung sekitar dinaiki air, namun tiada penduduk dipindahkan akibat kejadian itu.

“Pihak bomba akan melakukan pemantauan dari masa ke masa. Orang ramai terutama yang tinggal di pinggir pantai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati,” katanya. - SH

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.