Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rakyat perlu berani untuk perbetul kepincangan negara

.
Rakyat perlu berani untuk perbetul kepincangan negara
SELEPAS SUBUH

Tengku Razalaeigh menyampaikan ucaptama.
Kemunculan media sosial yang merupakan instrument yang dicipta untuk kemudahan manusia berhubung, berintraksi atau untuk memperolehi dan menyebar maklumat telah memberi ruang baharu kepada orang ramai dan ia makin popular.

Selain media baharu menjadi pengganti kepada media massa konvensional, ia juga berfungsi menjadi alat penyambung antara seseorang dengan seorang yang lain tanpa mengira sempadan dan jarak. Cara untuk aplikasi dan aksesnya juga mudah dan rengkas, sesiapa boleh mengakseskannya asalkan memiliki peranti capaian internet.


Para tetamu menyambut ketibaan Tengku.
Seperti juga dengan penemuan alat baharu lain tujuan asasnya adalah untuk kebaikan. Terpulang ke atas pengguna mengendalikan penemuan berkenaan ke mana dan untuk apa. Kalau ia diguna dengan bijaksana sesuai dengan tujuan asasnya ia dicipta, maka ia menjadi baik, dan bermanfaat untuk semua. Sebaliknya kalau ia di sebaliknya maka natijahnya juga menjadi sebaliknya.

Kilihatan Osu Sukan, Ahmad Laksamana dan Annuar Tahir.
Berbagai bentuk (saluran) yang wujud oleh media baharu sebagai alat penghubung. Antara yang popular ialah facebook, blog, twiter, instagram dan sebagainya. Salah satu yang sangat popular kini dan seolah menjadi satu kemestian ialah whatsAap group.  WhatsAap group ini wujud dari kumpulan sekecil-kecilnya daripada sesama keluarga, bekas sekolah, parti politik, ahli perniagaan, artis, sukan, pendakwah dan sampailah kepada di kalangan teknokrat, bikorat dan diplomatik.

Bahkan WhatsAap group ini juga wujud bukan dalam kalangan wakil rakyat, pegawai kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan malahan sampai ke peringkat menteri juga ada kemudahan berkenaan sendiri. Nah, begitu sekali besar dan meluasnya penggunaan kemudahan ini.

Hasil daripada kemunculan kemudahan itu juga semalam diadakan suatu majlis dinamakan "suaikenal" satu kumpulan WhatsAap group yang bernama "Ikatan Cendekiawan Kelantan" (ICKEM). Melihat kepada sinergi para ahlinya kumpulan whatsAap group ini boleh menyuntik pemikiran dan menginput idea untuk pembangunan negara khasnya dalam aspek sosial politik.

Sebahagian peserta bergambar kenangan dengan Tengku.
Tidak dijelaskan pula siapa yang menjadi ketua kepada ICKEM ini atau Adminnya? Tetapi yang jelas dan nyatanya ia dianggotai oleh kalangan cerdikpandai dari berbagai latar belakang pendidikan dan profesional, khususnya berasal dari Kelantan, atau ada relatif dengan negeri Kelantan.

Dr Zyadi mengatakan sesutau kepada Dr Halim.
Mereka terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan, doktor, pensyarah universiti, ahli politik, diplomatik, pakar motivasi, serta mahasiswa dan pengamal media massa.

Majlis suaikenal itu merupakan pertemuan sulung group itu bertempat di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dengan mengundang Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai tetamu kehormat.

Lebih 80 orang para cendekiawan yang bergabung dalam grup berkenaan hadir. Turut sama hadir pada majlis semalam ialah empat orang aktivis dan gerakan Islam dan kini menjadi politician, mereka sdr Mohd Annuar Tahir yang kini merupakan Setiausaha Agung AMANAH, Dr Mohamad Nur Manute yang juga merupakan senator dan ahli pimpinan tertinggi (MPT) Keadilan, Dr Rosli Yaakub Pengarah Urusan Harakah (Pas) dan Dr Abdul Halim Yusuf.  Turut sama hadir bekas Ketua Menteri Sabah, Osu Sukan dan Ahmad Laksamana Omar verteran Pas. Mungkin kehadiran mereka lebih kepada hubungan sosial agamawan dengan grup berkenaan.

Perjumpaan sulung grup berkenaan boleh dianggap berjaya. Tetamu khas, Tengku Razaleigh juga kelihatan seronok dan sedia berkongsi ilmu dan pengalaman dalam berbagai bidang yang dipakarinya; politik dan juga ekonomi. Keseronokan bekas Menteri Kewangan Malaysia itu jelas apabila beliau sedia untuk bersama majlis itu lebih dua jam.

Walaupun para hadirin seakan tidak puas dengan majlis berkenaan memandangkan banyak perkara yang perlu dibangkit dan dikongsikan, tetapi, sebagai muqadimah ia sudah memadai. Kewujudan grup berkenaan juga mendapat sambutan kerana ia sebuah grup yang tidak bermaksud untuk mengangkat mana-mana tokoh atau dalam kata lain menjadi "keldai" kepada mana-mana kumpulan atau individu politik, sebaliknya ikhlas untuk membincang secara telus dan dijadikan wacana perbincangan berbagai-bagai masalah demi kepentingan negara.

Hal ini disebut dan ditegaskan oleh moderator Dr Zayadi Awang Nuh, katanya ICKEM diwujudkan bukan untuk mengangkat mana-mana tokoh tetapi ia lebih kepada satu tanggungjawab untuk membina negara nusa.

Dalam masa yang singkat tetapi memuaskan itu, berbagai-bagai topik dan tajuk yang sempat dibualkan dan mendapat pencerahan oleh Tengku Razaleigh. Antara persoalan yang diajukan dan mendapat perhatian menarik ialah mengenai TPPA, masalah kejatuhan nilai ringgit, kedudukan harga minyak (Petroleum) dunia yang tidak menentu, kelemahan kepimpinan negara dan lain-lain.

Persoalan lain yang menarik dan merupakan isu yang seakan diabaikan yang disuarakan dalam pertemuan semalam ialah mengenai lambakan warga asing ke negara ini di mana ia sesuatu yang perlu dibimbangi kerana situasinya mengancam keselamatan negara. Jumlah pendatang asing yang dibawa masuk ke negara ini, perlu dipantau dan ia perlu dibimbangi kerana mereka mendatangkan masalah kepada negara dalam jangka masa panjang.

Sesetengah orang dan entiti politik bimbang dengan kewujudan orang Cina di negara ini yang boleh mengugat kekuasaan politik orang Melayu, tetapi dalam masa sama mereka semacam tidak berasa apa-apa dengan kebanjiran warga asing ke negara ini. Jumlah warga asing yang berada di negara ini, mengikut angka tidak rasmi sudah mencecah 6 juta orang. Angka ini tidak termasuk jumlah 1.5 Bangladeshi yang dirancang dibawa masuk pada tahun ini seperti mana diumum Menteri KDN Zahid Hamidi.

Kebimbangan terhadap orang Cina akan menguasai negara ini sebenarnya tidak berasas jika berdasarkan unjuran populasi di masa depan. Ini kerana menurut suatu kajian populasi orang Melayu di Malaysia akan mencecah 82% menjelang tahun 2035. Jadi kalau berdasarkan kepada unjuran ini tidak ada sebab bagi orang Melayu takut kepada orang Cina, apa lagi kalau sistem pemilihan pemimpin (wakil rakyat dan Perdana Menteri), diubah daripada kaedah sekarang mengikut kawasan kepada pemilihan langsung oleh rakyat, satu rakyat satu undi.

Molek juga saranan proses pemilihan pemimpin khasnya perdana menteri diubah kepada mengikut jumlah penduduk tanpa mengikut kaum atau sentimen agama, bukan ditentukan oleh bilangan kerusi diperolehi dalam pilihan raya dijadikan salah satu tuntutan oleh Bersih. Bersih harus memasukkan perubahan ini ke dalam jadual tuntutan utama mereka.

Mengenai persoalan TPPA yang ditanda tangani seminggu lepas di New Zeland, majlis semalam diberi tahu ia sesuatu perjanjian yang tidak begitu kondusif untuk Malaysia. TPPA dianggap sebagai bentuk penjajahan baharu ke atas Malaysia oleh Amerika Syarikat. Alasan yang diberikan, Malaysia terpaksa mengubah Perlembagaan semata-mata kerana mengikut kehendak Amerika Syarikat menerusi perjanjian itu. Pindaan Perlembagaan negara ini menyebabkan kehormatan atau kedaulatan negara tercalar.

Apa diragui harapan daripada TPPA ialah, Malaysia bukan sebuah negara perindusterian tinggi dimana tidak memungkinkan produk kita mampu bersaing diperingkat antarabangsa (global).  TPPA juga jelas menguntungkan Amerika dan ia merupakan satu tektik Amerika untuk membantu negaranya kerana melalui perjanjian itu negara Uncle Sam itu dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada warganya. Itulah juga yang menjadi harapan Barak Obama.

Berkaitan dengan permasalahan kepimpinan negara hari ini, khasnya mengenai masalah yang diwabakkan oleh Najib Razak yang mana walaupun ada usaha dari dalam Umno sendiri untuk menyingkirkan laki Rosmah Mansor itu, tetapi ia masih gagal, majlis berkenaan diberi idea dan jalan alternatif profesional bagaimana negara ini boleh diselamatkan daripada dikhinati oleh pemimpin yang ada hari ini.

Mungkin instrument yang ada iaitu Parlimen tidak lagi boleh digunakan untuk menyingkirkan Najib. Ini kerana wakil rakyat yang seharusnya mewakili rakyat sepatut membuat tindakan, tetapi tidak boleh diharap lagi apabila mereka sedia dan sanggup diupah dan menjadi pemakan upah. Keadaan ini menjadikan wakil rakyat tidak berani untuk membuka mulut menyuarakan kebenaran atau menyampaikan aspirasi rakyat, kerana kalau mereka membuka mulut, bimbang "ketul emas" yang mereka kulum dan "kekah" akan jatuh.

Kalau pun wakil rakyat sudah bisu dan pekak, tetapi ia tidak bermakna rakyat negara ini sudah habis ikhtiar untuk melakukan sesuatu demi kepentingan mereka. Penyingkiran menerusi sistem demokrasi hanya boleh dibuat lima tahun sekali menerusi pilihan raya. Untuk menunggu lima tahun, mungkin lebih banyak lagi kemungkaran dan keburukan yang berlaku. Justeru rakyat harus kreatif berfikir jalan lain bagi menyelamatkan mereka dan negara.

Dalam hal ini rakyat perlu berani dan kreatif dalam tindakan mereka. Rakyat boleh menggunakan kuasa yang ada kepada mereka untuk menurunkan mana-mana pemimpin dengan membuat desakan tanpa menerusi instrument disebutkan tadi. Apa yang berlaku di negara luar seperti Korea boleh diambil contoh dan iktibar. Di Korea rakyat menggunakan gerakan massa, seperti NGO dan kesatuan sekerja untuk menegur bahkan menjatuhkan mana-mana pemimpin yang korup atau pun melakukan skandal dalam negara. Tindakan ini sangat berkesan dan ia suatu yang pratikal di negara maju.

Sejajar itu juga rakyat boleh bertindak dengan melakukan tindakan-tindakan berupa protes seperti mana dianjurkan oleh Ghandi di India ketika melawan British dengan menganjurkan rakyat melakukan (civil disobedience) mematikan eleterik untuk beberap jam. Ternyata tindakan rakyat India itu memberi kesan dan akhirnya menyebabkan Britisih terpaksa tunduk kepada kehendak rakyat India.

Untuk di Malaysia rakyat boleh membuat tindakan sedemikian mislanya dengan tidak menghadiri majlis mega anjuran Umno untuk mempertahankan pemimpin yang korup. Rakyat perlu berani dan sanggup untuk menolak beberapa ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai "baksis" menghadiri himpunan atau pertemuan anjuran Umno. Penolakan rakyat dari menghadiri majlis-majlis umum Umno itu akan memberi tekanan dan mesej kepada pemimpinnya yang mereka sudah tidak diingini lagi.

Sebenarnya banyak idea yang canggih dan dikira boleh menjadi penawar kepada penyakit dihadapi negara ketika ini ditelorkan menerusi majlis anjuran ICEK semalam. Justeru ia diharap majlis semalam bukan yang pertama dan akhir, tetapi akan diteruskan dengan anjuran beberapa majlis lagi dimasa hadapan. Majlis wacana atau pun berbualbebas demikian juga boleh mengundang tokoh-tokoh dari pemerintah sendiri yang memberikan penjelasan atau mendapat input-input baharu dari luar yang mungkin bermanfaat untuk mereka.

Di sini saya ingin mencadangkan ICEK dalam masa terdekat boleh menjemput dua orang tokoh yang kini dianggap malang tetapi masih belum terbuang untuk menjadi tetamu khas. Kedua orang yang saya maksudkan itu ialah bekas MB Kedah Mukhriz Mahathir dan MB Swasta dari Kelantan Husam Musa. Cuba panggil mereka dan kita ingin tahu apakah idea dan wawasan mereka dalam pembentukan negara di zaman edan ini. Saya yakin ramai yang ingin menyertainya kalau kedua tokoh ini diundang menjadi tetamu khas. [wm.kl.8:13 am 09/02/16]

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.