Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tendangan celah kangkang untuk Umno

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
Tendangan celah kangkang untuk Umno

ULASAN Pengumuman penarikan diri Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Umno hari ini adalah kerana parti itu bertujuan semata-mata untuk melindungi Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak.
Turut meninggalkan Umno adalah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dr Mahathir mengambil langkah yang sama pada tahun 2008 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Apabila Mohd Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno pada tahun 2009, Dr Mahathir masuk semula, bergiat cergas dan dikreditkan dengan kejayaan Barisan Nasional merampas semula Kedah daripada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2013.
Ada orang berkata Dr Mahathir tidak sepatutnya mengundurkan diri. Mereka berkata adalah lebih dramatik beliau menunggu sehingga dipecat.
Pengunduran diri Dr Mahathir adalah tendangan celah kangkang(a kick to the groin) kepada Umno.
Tetapi Mohd Najib dan penggilap epal serta pemakan dedak beliau mungkin berasa amat lega kerana duri yang menjadi selumbar di punggung mereka luruh dengan sendirinya.
Walaupun terlalu awal untuk meramalkan berapa ramai ahli Umno yang akan menurut jejak langkah beliau namun ia cukup untuk melemahkan lagi semangat ahli parti yang sudah pun merudum.
Elok juga beliau keluar Umno daripada kekal di dalamnya dan dihujani pelbagai cemuhan, maki-hamun dan perbuatan kurang ajar kerana mengkritik Mohd Najib dan konco-konconya.
Ia akan memudahkan beliau menjadi obor bagi setiap warganegara yang mahu menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan kuasa Mohd Najib.
NOTA kaki: Saya sendiri menarik diri secara rasmi daripada Umno – parti ayah saya – kuatkuasa 29 Jun tahun lalu kerana saya berasa tidak lagi boleh menyumbang kepadanya atau bersetuju dengan tindak-tanduk para pembesarnya. Pembatalan keahlian saya itu disahkan oleh Setiausaha Kerja Umno, (Datuk) Ab Rauf bin Yusoh, melalui surat bertarikh 4 Ogos 2015. Terima kasih kepada Umno dahulu. Ayah saya menyertai Umno pada tahun 1946. Setiap pilihan raya, sehingga Pilihan Raya Umum 2004, dia mewajibkan anak-anaknya balik mengundi. Tapi pada PRU 2008 dia tidak mengeluarkan “petua” itu. Sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2009, dia berkata, “Umno bukan parti aku lagi” dan berhenti membaca Utusan Malaysia, akhbar sanjungannya. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Wallahuaklam.
Datuk A Kadir Jasin adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times. Arikel ini pertama kali disiarkan menerusi blognya - The Scribe A Kadir Jasin.

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.