CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
'Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan Muhyiddin'
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin menggesa sebuah suruhanjaya diraja menyiasat dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kemasukan wang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta ke akaun peribadi perdana menteri.
Hanipa berkata Muhyiddin dalam kenyataannya mendakwa diberitahu oleh mantan peguam negara, Tan Sri Gani Patail bahawa wujud perbuatan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Razak dalam kes tersebut.
"Setakat ini mantan peguam negara memilih untuk tidak memberi apa-apa komen terhadap pendedahan terbaru Tan Sri Muhyiddin itu.
"Dengan pendedahan baru Muhyiddin mengenai isu SRC International ini, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.
"Mengapakah dalam keadaan wujudnya bukti dan keterangan yang kuat untuk mendakwa perdana menteri, tiba tiba bukan sahaja beliau tidak didakwa sebaliknya mantan peguam negara dan mantan timbalan perdana menteri ditamatkan perkhidmatannya?
"Adakah ada campurtangan daripada pihak tertentu sehingga pendakwaan ke atas perdana menteri tidak dilakukan?," soalnya yang juga Pengerusi Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (AMANAH).
Muhyiddin semalam berkata beliau ditunjukkan bukti oleh Abdul Gani mengenai wang yang masuk ke akaun peribadi Najib dari syarikat SRC International dan mengesahkannya sebagai satu perbuatan jenayah.
Bagaimanapun, Gani enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.
Hanipa menimbulkan isu keyakinan sekiranya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwan itu, di mana hasil siasatan akan dirujuk kepada peguam negara yang dilantik atas nasihat perdana menteri.
"Oleh yang demikian, saya percaya perlunya satu badan lain yang benar benar bebas dan telus iaitu selain polis dan SPRM, yang perlu membuat siasatan pendedahan terbaru Muhyiddin supaya siasatan dibuat dengan lebih telus, mendalam dan berkesan," katanya.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.