Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bank Negara mesti kekal bebas daripada pengaruh politik

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
Bank Negara mesti kekal bebas daripada pengaruh politik

SETELAH hampir dua dekad atau dengan tepatnya 16 tahun menerajui Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dijadualkan tamat kontrak pada penghujung April tahun ini.
Zeti, yang juga wanita pertama negara telah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan sebagai Gabenor Bank Negara dan telah berkhidmat selama lima penggal sejak tahun 2000.
Beliau juga tidak akan menyambung khidmat untuk satu lagi penggal sebagai Gabenor BNM.
Sudah pastinya, ramai yang tertanya-tanya siapa calon yang bakal menggantikan tokoh unggul itu dalam menggalas salah satu tanggungjawab terbesar negara.
Dengan pelbagai kontroversi yang melanda tanah air, beberapa nama telah dicalonkan dan juga turut ditolak oleh jawatankuasa tadbir urus bank pusat itu atas sebab nama-nama yang dicalonkan mempunyai hubungan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai konflik kepentingan dengan BNM.
Tindakan itu menurut Zeti, jelas membuktikan ketegasan dan keseriusan jawatankuasa dalam memilih calon yang tepat dan pada masa yang sama, beliau menasihati rakyat agar tidak bimbang dengan pemilihan calon kerana BNM mempunyai pelan penggantian bagi lima peringkat ke bawah yang mencerminkan keteguhan struktur dan operasi bank pusat.
Antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi pengganti Zeti ialah, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.
Muhammad menjadi sebutan sebagai pengganti Zeti selepas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dilaporkan tidak berminat untuk menyandang jawatan itu dan lebih selesa meneruskan tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat. Lagipun, Awang Adek pernah menjadi calon Barisan Nasonal (BN) yang pastinya akan wujud konflik kepentingan.
Dua lagi Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Datuk Sukudhew Singh juga dikatakan antara calon sesuai bagi menggantikan Zeti.
Selain itu, turut disebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Mengikut Akta Bank Negara Malaysia 2009, Gabenor hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Gabenor oleh Menteri.
Kedua-dua Gabenor dan Timbalan Gabenor perlulah orang yang mempunyai reputasi amat baik dengan pengalaman yang telah terbukti dan pengetahuan mereka diiktiraf dalam hal monetari atau kewangan.
Gabenor juga dilantik bagi tempoh selama lima tahun dan Timbalan Gabenor hendaklah setiap seorang dilantik bagi tempoh selama tiga tahun dan mereka turut layak untuk dilantik semula.
Peranan utama seorang Gabenor itu adalah menguruskan bank dan boleh, melainkan jika diperuntukkan selainnya di bawah akta atau mana-mana undang-undang bertulis lain, menjalankan segala kuasa dan melakukan segala perbuatan yang boleh dijalankan atau dilakukan oleh bank di bawah akta itu atau undang-undang bertulis itu.
Ketika ketiadaan Gabenor atau Gabenor tidak berdaya untuk bertindak atas apa-apa sebab tertentu, Timbalan Gabenor yang ditentukan oleh Lembaga, atas syor Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga, hendaklah menguruskan bank dan menjalankan segala kuasa dan melakukan segala perbuatan yang boleh dijalankan atau dilakukan oleh Gabenor di bawah subseksyen (6).
Ketika ditanya sama ada ahli politik boleh menjadi Gabenor akan datang, Zeti berkata, tidak ada ahli politik yang menganggotai lembaga pengarah mana-mana institusi kewangan, apatah lagi bagi Bank Negara.
Katanya, setiap negara memerlukan organisasi seperti bank pusat yang tidak mempunyai sebarang agenda politik serta harus kekal fokus memastikan kestabilan makroekonomi, kewangan dan ekonomi.
Ini dinyatakan di dalam Akta Bank Negara di mana Gabenor dan Timbalan Gabenor hendaklah, melainkan jika diperuntukkan selainnya di bawah Akta ini, menumpukan sepenuh masa profesional mereka kepada perkhidmatan Bank Bank Negara Malaysia 21 dan semasa memegang jawatan itu tidak boleh memegang apa-apa jawatan atau pekerjaan lain sama ada dengan saraan atau tidak:
Dengan syarat bahawa mereka boleh jika dilantik sedemikian dengan kelulusan Menteri:
(a) Menjadi pengarah, gabenor atau anggota sesuatu lembaga, tidak kira dengan apa jua nama dipanggil, atau sesuatu jawatankuasa atau pasukan petugas mana-mana institusi kewangan antarabangsa atau organisasi antarabangsa yang disertai oleh Kerajaan atau Bank atau yang dianggotai oleh Kerajaan atau Bank atau yang dengannya Kerajaan terikat atau kepadanya Kerajaan memberikan sokongan atau kelulusan;
(b) Menjadi pengarah mana-mana perbadanan yang ditubuhkan oleh Bank di bawah Akta ini atau mana-mana perbadanan di Malaysia yang diperoleh oleh Bank atau yang syer dalamnya dipegang oleh Bank;
(c) Menjadi anggota mana-mana jawatankuasa atau suruhanjaya yang disebut dalam subseksyen 70(1); atau
(d) Menjadi anggota mana-mana organisasi khairat atau pendidikan.
(9) Walauapapun subseksyen (8) atau mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, Gabenor atau Timbalan Gabenor boleh dilantik oleh mana-mana undang-undang bertulis untuk menjalankan apa apa kuasa, menunaikan apa-apa kewajipan, dan melaksanakan apa-apa fungsi di bawah mana-mana undang-undang bertulis, dan diberi apa-apa gelaran jawatan sebagaimana yang dinyatakan dalam mana-mana undang-undang bertulis itu.
(10) Gabenor dan Timbalan Gabenor hendaklah bertanggungjawab kepada Lembaga bagi perbuatan dan keputusan mereka.
(11) Gabenor boleh meletakkan jawatan melalui notis secara bertulis yang ditandatanganinya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dalam hal seseorang Timbalan Gabenor melalui notis secara bertulis yang ditandatanganinya yang ditujukan kepada Menteri.
Sekiranya berlakunya kekosongan jawatan Gabenor, Timbalan Gabenor atau pengarah sebelum habis tempoh yang baginya dia dilantik, seorang lain boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam hal Gabenor atau seorang pengarah yang dilantik di bawah subseksyen 16(1), atau oleh Menteri dalam hal seorang Timbalan Gabenor, bagi tempoh jawatan yang belum habis bagi orang yang digantikannya itu.
Begitu terperinci susur galur proses bagi pelantikan Gabenor BNM dan juga timbalannya bagi memastikan tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti.
Justeru, dengan adanya Akta Bank Negara 2009 ini, ramai pihak berharap agar keputusan yang diumumkan kelak bakal membuktikan BNM kekal sebagai badan yang bebas daripada sebarang pengaruh politik.
Wartawan Ismaweb
Ainul Illia Meor Suzurudin

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.