Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SPRM: Setiausaha Bahagian KBS Hadapi 32 Pertuduhan Rasuah RM38.4 Juta

CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
SPRM: Setiausaha Bahagian KBS Hadapi 32 Pertuduhan Rasuah RM38.4 Juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kuala Lumpur, hari ini dengan 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta.

Tertuduh, Otman Arsahd, 57, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Allaudeen Ismail.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur antara 28 Februari 2012 dan 18 November 2015.

Sebanyak 17 pertuduhan membabitkan tuntutan palsu di mana Otman didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala baki 15 pertuduhan membabitkan kesalahan salah guna kedudukan, yang dikenakan mengikut Seksyen 23(1) akta yang sama.

Pertuduhan-pertuduhan di Seksyen 18 Akta SPRM 2009 menyebut Otman memberikan kepada Pengarah Bahagian Kewangan Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub sebanyak 17 dokumen iaitu Surat Pembayaran Melalui Akaun Kementerian Di Majlis Sukan Negara yang mana bertujuan untuk mengelirukan prinsipalnya dan mempunyai butir matan palsu.

Nilai kesemua pertuduhan itu melibatkan pembayaran berjumlah RM36,310,400 yang dibayar kepada tiga syarikat iaitu Enconic Corporation Sdn Bhd, GPO Essence Sdn Bhd dan Gapa Jitu Sdn Bhd berkaitan program kementerian dan pejabat Timbalan Menteri Kementerian dan pembekalan peralatan kursus kementerian.

Kesemua program dan pembekalan yang dinyatakan tidak dilakukan atau tidak diadakan yang mana bertujuan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Sementara itu, mengikut 15 pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, Otman didakwa menggunakan kuasanya sebagai Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara membuat bayaran berjumlah RM2,161,000 pada kadar antara RM50,000 dan RM250,000 kepada Syarikat Dial Ex Sdn Bhd untuk empat jenis program iaitu Program Futsal 2012, Program Sampingan F1 2013, dan 2015, serta Program Kementerian, yang mana anak-anak tertuduh, Arif Azuan Otman dan Arif Azmin Otman mempunyai kepentingan dalam Syarikat Dial Ex Sdn Bhd.

Mengikut Seksyen 18 dan 23(1) Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi dan dipenjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan.

Kes pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin serta geran tanah 1.09 hektar miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim turut memerintahkan agar pasport Otman diserah kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 21 April 2016.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
31 MAC 2016

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.