Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

[CORETAN JUJUR SAIFUL NANG] Kasta Arafah - Yang Kaya dan Yang Miskin

CELAH GELEGAR
[CORETAN JUJUR SAIFUL NANG] Kasta Arafah - Yang Kaya dan Yang Miskin


Sebak dada membaca perkongsian yang jujur ini. Sarat dengan mesej yang tersangat mendalam bagi orang yang mahu berfikir dengan dada yang lapang dan hati yang tenang... Inilah hakikat yang pahit untuk diterima, antara tanda sebenar mengapa Islam telah berpecah belah... baik zahir mahupun batinnya.

Tidak peliklah mengapa umat Islam seluruh dunia boleh diratah dengan mudah. Kerana sembahan terhadap pangkat dan harta sudah jauh mengatasi dari pengabdian kepada ALLAH. Itulah antara 3 berhala di jumrah yang saban tahun kita rejam simboliknya, tetapi kita puja pada hakikatnya.

KEPADA JEMAAH HAJI KITA DI SANA KITA HARAP DAPAT PULANG MEMBAWA PULANG HUJJAH DAN IBRAH... PULANG SEBAGAI IMAM DALAM MEMIMPIN KELUARGA, MASYARAKAT DAN NEGARA.

Ya... kita ada tugas berat.. untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam, satu-satunya agama penyelamat umat.

Salam AidilAdha,
WARGA PRIHATIN

KASTA ARAFAH

Dahulu, satu khutbah didengari oleh semua yang berkumpul di Arafah. Tiada mikrofon, tiada speaker dan tiada live telecast, tetapi wasiat nabi semasa berkhutbah di hadapan lebih 100,000 umat Islam ketika itu didengari jelas hingga ke hari ini. 

Seorang komandan, seorang pemimpin, seorang yang luhur akhlaknya refleksi kepada Al-Quran telah berkhutbah di bumi Arafah sehingga laungannya di dengari oleh kapasiti sebuah stadium bukit jalil yang penuh dan padat.

Itulah satu mesej untuk semua jemaah dari seluruh dunia yang berhimpun. Satu mesej itulah yang menyatukan manusia tidak kira mereka datang dari mana. Janganlah kata haji itu hanya berlaku selepas kenabian tetapi semasa Rasulullah SAW mendapat wahyu yang pertama pun telah berlaku ibadah haji.
Haji itu telah menjadi ritual semenjak dari Nabi Ibrahim A.S lagi. Ini bermakna, himpunan di Arafah ketika itu ialah himpunan 100,000 manusia dari seluruh pelusuk dunia yang berkelana untuk mengerjakan haji.
Nabi Muhammad SAW hanya menyudahkannya selepas peristiwa Pembukaan Kota Mekah semula. Khutbah itu didengari oleh semua dan 1 khutbah itu telah menyatukan semuanya.

PENGALAMAN DI ARAFAH

Hari itu, semasa saya di sana, saya mempunyai imaginasi bahawa khutbah itu akan disampaikan oleh seorang ketua yang mengetuai keseluruhan khutbah di Arafah ke atas seluruh manusia, samada secara langsung mahupun secara live telecast beserta alih bahasa bagi mereka yang mungkin tidak memahami bahasa Arab. Namun rupanya ia tidak berlaku seperti itu.

Saya berkumpul di dalam perkampungan Malaysia. To be exact, perkampungan jemaah VIP Malaysia di atas sebuah bukit yang diasingkan mengikut pakej-pakej.

Pakej tertinggi akan mendapat khemah yang sangat selesa. Tempoh mereka di Arafah hanya sekadar untuk sah wukuf sahaja, tidak sampai bermalam dan tandas pula ada tersedia dengan selesa.

Yang murah sedikit berasak-asak juga nak ke tandas. Yang betul-betul murah langsung ada yang tak sempat ke tandas juga ada. Khemah juga berbeza-beza mengikut harga pakej.

Saya berpeluang berada dalam kelompok VVIP dan saya mampu rasakan kemewahannya. Dalam masa yang sama saya juga turun sehingga ke pakej termurah sekali dan saya mampu rasakan pengorbanannya.

Arafah zaman nabi dahulu, manusianya disatukan dengan kain ihram yang sama. Tidak kira miskin kaya, tua dan muda, mahupun dari pelusuk dunia manapun mereka, tetap seragam dan diseragamkan pula pemikirannya dengan SATU KHUTBAH.

ITU Tidak berlaku pada hari ini. Yang pakej murah akan mendengar khutbah di khemah pakej murah. Yang pakej mahal mendengar khutbah dari pakej mahal dan mereka tidak disatukan langsung.

Ihramnya sama warna namun terpisah akibat kasta pakej. Saya cuma rasa ada yang tidak kena dan sangat tidak kena.

Memang ada yang kata, itu rezeki mereka dimudahkan Allah untuk mengerjakan haji, namun persoalan yang timbul dalam benak saya adakah mereka benar dimuliakan kerana sebahagian yang saya kenali mereka juga pemilik syarikat yang berkaitan perjudian?

Bingung juga saya ketika itu. Terfikir juga adakah Nabi dahulu memberi khutbah kepada jemaah VIP sahaja dan tidak kepada 100,000 lebih jemaah yang menjadi tetamu Allah di Arafah.

Tahun lepas mataf runtuh. Tahun saya dulu Arafah dibadai ribut. Tahun ini kren tumbang. JANGANLAH setiap bala itu dituding semuanya kepada Allah kerana kita juga yang selalu katakan "Yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari kita manusia sendiri", tapi bila kren tumbang mengapa tuduh Allah yang buat?

Banyak mesej yang patut kita fikir-fikirkan. Di manakah central leadership Islam yang mempunyai executive power kepada seluruh umat Islam sedunia? Mana kata jika diputuskan sesuatu, maka termaktub keputusan itu melangkaui seluruh negara-negara dan umat Islam seluruh dunia? 

Siapakah sebenarnya imam kita hari ini? 

Khutbah siapakah yang kita dengar di Arafah?

Khutbah dari ustaz-ustaz yang dibayar untuk menjadi pemandu haji pun bukan juga dari mereka, kerana mereka juga hanya PEMBACA TEKS. Bila saya intai dengar teks khutbah dari khemah indonesia dan Brunei yang bersebelahan, IA JUGA TIDAK SAMA.

Jelaslah bahawa PENYATUAN dari KHUTBAH itu tidak berlaku di Arafah. Yang kaya dengan yang kaya. Yang miskin dengar khutbah pakej miskin. Yang muassasah atau bahasa kasarnya pakej haji bersubsidi pula lain juga khutbahnya. Maka di manakah penyatuan Islam? 

La Islam Illa Bil Jamaah - Itu pesanan nabi "Tidak Islam jika tidak berjemaah". Hari ini kita kata kita berjemaah... namun SIAPA IMAM KITA?

Janganlah kata apa yang jadi ini BENAR kerana pada zaman nabi ia tidak berlaku begini. Pada zaman itu semua mendengar 1 khutbah, 1 tausiah, 1 pesanan, 1 wasiat... maka lajakan dari khutbah itu membawa hingga kepada penyatuan 2/3 mukabumi yang dipayungi sinar Islam.

Kita tinggalkan catatan Arafah ini di Arafah kerana saya masih rindu untuk bertemu Arafah seperti yang diriwayatkan di dalam sirah dan sunnah.

Pada hari-hari terakhir, saya berpeluang untuk bersama dalam satu keraian oleh Rais Maktab (Dari kementerian Haji di Saudi) yang meraikan penjual pakej mahal haji ini dengan hadiah-hadiah yang sangat mahal. 

Pengelola pakej VIP pula membelanjakan ribuan riyal untuk menjamu dan meraikan kejayaan misi haji tahun itu lalu dengan bangga juga membazirkan berdulang-dulang nasi mandi yang hanya dijamah sedikit. 

Saya lihat, mereka meraikan KEJAYAAN PERNIAGAAN mereka bersama rakan kongsi mereka Rais Maktab yang bertanggungjawab menjaga pakej-pakej VIP ini di pihak Saudi. 

Dalam hati saya, bukankah Haji ini satu IBADAH? Tetapi mengapa dalam keadaan manusia mahu beribadat ada pihak yang berniaga melampaui batasan? Padahal semua itu hanya memisahkan Si Kaya dengan Si Miskin. 

Sampai bila Si Kaya mahu kenal nasib Si Miskin jika di padang Allah begitupun Si Kaya masih dalam kastanya, si Miskin juga dalam kastanya?

Janganlah kita jadi orang Islam yang pandai kondem kasta dalam agama Hindu tetapi kita sendiri juga meletakkan tembok pemisah antara yang kaya dan yang miskin. Mahu kita panggil apa pula amalan kita ini? 

Sama sahaja....

Saya rindu khutbah yang menyatukan manusia.
Saya rindu khutbah dari seorang pemimpin.
Saya rindu khutbah Rasulullah SAW.

Kenyataan memang pahit untuk dicerita, pahit juga untuk ditelan. Tapi kenyataan tidak perlukan penulisan untuk bercerita tetapi perlukan anda sendiri melihatnya dengan hati terbuka.

Syukur saya telah sudahkan ritual haji itu dengan sempurna dan membawa pulang pelajaran besar ke Malaysia bahawa...

ISLAM SUDAH TIDAK BERSATU
ISLAM SUDAH BERKASTA
ISLAM SUDAH TIADA PEMIMPIN
ISLAM SUDAH TIDAK SEPERTI ISLAM YANG DAHULU

Kerja berat kita ialah....

Bangkitkan semula Islam yang telah tumbang seperti tumbangnya kren di Masjidilharam.
Pergi Haji di bulan Hujjah

Bawa balik hujjah...Islam telah tumbang

Maka di sini...kita usahakan untuk naikkan yang telah tumbang itu semula supaya tidak terus dipijak-pijak.

Jangan perasan Islam masih tinggi. Jika Islam masih tinggi mengapa ada yang masih mampu memijak-mijak Islam dan menindas-nindas Islam seperti Islam ini satu jasad yang parah yang sedang menunggu ajal ATAU bangkit menjadi penyelamat.

Tahun lepas ayah saya pergi ke Mekah dengan pakej termurah (jika tunggu giliran muassasah tak pasti sempat ke tidak). Namun, pekej itu sahajapun sudah terlampau tinggi kosnya.

Adakah haji itu satu ibadat hanya untuk orang-orang kaya sahaja? Pergi Haji bagi yang berkemampuan...malang sungguh jika kemampuan itu ditakrifkan kepada kemampuan WANG semata-mata, BUKAN kemampuan berfikir dan membawa pulang hujjah-hujjah di musim hujjah (Haji). 

Catatan ini saya tulis semula dari catatan perjalanan saya di Arafah pada tahun 2013 dahulu.

SAIFUL NANG

*Foto diambil oleh Noh Hujan.- Saiful Nang