CELAH GELEGAR
MAHFUZ: Penahanan Khairuddin elak maklumat dibongkar, IGP JAWAB: Khairuddin mensabotaj negara
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mendakwa penangkapan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan adalah cubaan untuk menutup mulut sesiapa sahaja yang cuba untuk membongkar penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mahfuz menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan situasi penangkapan Khairuddin kepada rakyat Malaysia.
"Tafsiran mahkamah atau peguam manakah manakah yang digunakan PDRM untuk mengatakan sebarang aduan rasmi kepada pihak berkuasa adalah suatu tindakan yang bersalahan dengan prinsip-prinsip di dalam sistem demokrasi berparlimen?
"Sesungguhnya rakyat Malaysia yang waras dapat melihat bahawa yang tergugat dengan laporan demi laporan yang dibuat oleh Khairudin bukanlah sistem demokrasi berparlimen atau Perlembagaan negara ini, " katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin direman enam hari]
Mengulas lanjut Mahfuz mendakwa, maka cara paling mudah adalah dengan menangkap individu-individu yang berani seperti Khairuddin.
"Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mendesak supaya Khairuddin dibebaskan segera dan tidak diancam atau disekat pergerakannya. Jika Perdana Menteri merasakan Khairuddin melakukan perbuatan fitnah ke atas dirinya, maka saya mencabar Perdana Menteri agar memfailkan saman di mahkamah.
"Jangan sekali-kali menyalahgunakan kuasa dengan memperalatkan pasukan polis dan lain-lain agensi kerajaan untuk menekan Khairuddin atau sesiapa sahaja yang menggunakan kaedah dan saluran yang sah untuk menuntut siasatan dijalankan ke atas Perdana Menteri di dalam kes 1MDB," katanya.
Khairuddin yang ditahan oleh polis pada petang Jumaat lalu, telah dikenakan perintah reman selama enam hari berkaitan dengan isu 1MDB.
Polis: Khairuddin mensabotaj negara
KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menganggap tindakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggunakan saluran perundangan asing untuk mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai mensabotaj negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu jelas merupakan langkah yang bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia.
"(Ia turut) mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara ini.
"Tindakan beliau ini merupakan satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara ini.
"Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan maklumat yang disalurkan oleh Khairuddin kepada agensi-agensi asing berkenaan, adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan.
Khalid membuat kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kononnya PDRM dipergunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengelak pembongkaran kes 1MDB.
Semalam, Mahfuz mendakwa penangkapan Khairuddin di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan adalah cubaan untuk menutup mulut dan menggesa polis menjelaskan situasi penangkapan Khairuddin kepada rakyat Malaysia.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Penahanan Khairuddin elak maklumat dibongkar ]
Ujar Khalid, Khairuddin telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
“Khairuddin seharusnya diberikan ruang dan peluang kepada agensi penguatkuasa untuk menjalankan siasatan, namun beliau tetap memilih untuk menggunakan saluran perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata, Mahfuz sepatutnya sedia maklum bahawa siasatan 1MDB itu turut dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara.
"Beliau (Mahfuz) juga maklum bahawa proses siasatan belum selesai dan semua agensi yang terlibat masih memikul amanah dan tanggungjawab,” katanya. -SH
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.