CELAH GELEGAR
Perdana Menteri, NAJIB didesak sumpah laknat
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didesak supaya mengangkat sumpah laknat bagi mengakui RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah derma daripada seorang jutawan Timur Tengah.
Selain itu, bekas ahli UMNO, Ummi Hafilda Ali turut meminta Najib membuat sumpah laknat bagi membuktikan duit RM2.6 bilion itu digunakan demi kepentingan rakyat dan negara.
Katanya, sumpah laknat itu perlu dilakukan selepas solat Jumaat di Masjid Putrajaya sebelum akhir bulan Oktober.
“Sebagaimana Perdana Menteri begitu berani bersumpah laknat dengan menafikan sekeras kerasnya kaitan beliau dengan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kami juga yakin dan percaya Perdana Menteri kami Najib Razak berani bersumpah laknat dalam Masjid Putrajaya selepas solat Jumaat.
“Ini bagi menghilangkan semua keraguan rakyat dan pihak musuh politiknya,” katanya dalam sidang media di Jalan Ipoh pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Umi Hafilda turut meluahkan tidak puas hati dengan penahanan rakannya, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditangkap mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA).
Dia yang kini dilantik sebagai Pengasas Kuasa Suara Rakyat (KSR) mempersoalkan adakah wajar kerajaan mengenakan tindakan undang-undang terhadap Khairuddin yang hanya membuat laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara.
“Khairuddin sudah membuat laporan polis sejak Disember lagi. Namun mereka ada kuasa dan boleh buat apa sahaja.
“Saya tidak dapat membayangkan nasib yang akan dilalui Khairuddin selepas ini.
“Sebagai sahabat saya sedih… Tak sepatutnya berlaku,” katanya. -FMT
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.