Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Siapa Yang Makan Cili, Dia Akan Terasa Pedasnya: Cili Oh! Cili Padi!

AMIE'S LITTLE KITCHEN
Siapa Yang Makan Cili, Dia Akan Terasa Pedasnya: Cili Oh! Cili Padi!
Buah berangan masaknya merah,
Lada cili dalam perahu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati sahabat tak tahu.

Pantun di atas Amie salin dari Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ketika Amie meninjau-ninjau mencari dan menambah kosa kata cili, yang juga disebut lada, cabai dan juga lombok... lombok dalam bahasa ibunda yang kami dengar sejak dahulukala!

Maaf, sebelum membebel panjang, Amie ingin ucapkan Salam Maal Hijrah buat semua, moga 'hijrah' akan sentiasa ada dalam diri kita. Sentiasa berhijrah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik, in shaa Allah.

Kali ini Amie ingin kongsi tentang sejenis bahan masakan yang sentiasa ada di dapur, dan kalau tiada bahan ini akan terasa sedikit hambar dalam masakan kita. Maklum sahajalah, budaya turun temurun yang kita warisi, tanpa rasa pedas, tidak lengkaplah 'rasa' santapan walaupun sudah mengandungi rasa manis, masam, masin! Itulah uniknya budaya kita, kena cukup rasa untuk mengatakan sedap!

Jom kita tambah ilmu tentang manfaat cili, selain fungsinya sebagai penambah kelazatan dalam satu-satu masakan. Umumnya, cili kaya dengan pelbagai vitamin termasuk vitamin A, B, dan C kompleks, protein, karbohidrat dan juga karotin. Cili yang Amie ingin kongsikan di sini sudah tentunya cili padi, yang macam-macam jenisnya. Ada cili api, cili burung, cili  cabai rawit @ kerawit... alamak macam lain pulak dah bunyinya! Semua orang yang pernah makan cili tentu terasa kepedasan yang berbeza mengikut jenisnya. Cili padi kampung janganlah nak diceritakan tahap kepedasannya... ya ampun! Amie pun tak berani nak gunakan banyak-banyak! Amie lebih suka gunakan cili padi minyak yang tak berapa pedas.

Cili tergolong dalam keluarga solanaceae iaitu satu keluarga dengan sayur tomato dan kentang. Biasanya, cili yang bersaiz kecil lebih pedas rasanya. Kepedasan cili juga bergantung kepada kandungan capsaisin/capsaicivoids di dalamnya. Terdapat lima komponen capsaicin di dalam cili iaitu, nordihidro capsaicin, capsaicin, dihidro capsaicin, homo capsaicin dan homo dihidro capsaicin. Komponen inilah yang membantu melancarkan sisitem peredaran darah di bahagian tangan, kaki dan jantung manusia. Di samping itu, buah cili yang pedas juga meningkatkan suhu badan sehingga merangsang metabolisme untuk melancarkan peredaran darah.

Sumber:  http://www.khasiatherba.com/ubat/khasiat-cilicabai.html

Cili dikatakan mampu membantu menurunkan berat badan. Bagi yang ingin mengamalkan pemakanan sihat, selain mengurangkan lemak dan minyak dalam masakan, eloklah cuba resepi di bawah ini. He he hee... ikan rebus bukan sebarangan! Aroma serai dan bahan-bahan lain sudah pastinya menggamit selera anda. Jangan lupa bubuh beberapa biji cili padi dalam masakan ini. Untuk resepinya,  sila klik pada setiap gambar untuk pergi ke pautannya.  

Berdasarkan pembacaan Amie di blog Khasiat Herba Untuk Kesihatan cili mengandung capsaicin yang akan mempercepat metabolisme dan membantu tubuh membakar kalori lebih cepat. Hal ini terjadi kerana capsaicin meningkatkan suhu tubuh dan berperanan dalam meningkat degupan jantung. Lebih jauh, kajian menunjukkan orang yang hobi makan pedas biasanya makan dalam jumlah yang sedikit sehingga berat badan lebih terjaga.

Untuk lebih lanjut mengenai khasiat dan manfaat cili khususnya cili padi, sila klik pautan yang Amie kongsikan di bawah nanti. Di bawah ini Amie kongsikan penggunaan cili dalam beberapa jenis masakan. Yang dah biasa tu, tengok-tengok sajalah kalau sudi. Bagi adik-adik yang baru berjinak-jinak ke dapur bolehlah lihat contoh-contoh masakan yang menggunakan cili padi atau cili yang sewaktu dengannya.

Cili padi memang sesuai ditambahkan dalam resepi Udang Goreng Butter. Kadang-kadang Amie campurkan cili merah dengan cili padi.

Ini cili padi minyak. Kepedasannya tidaklah sampai menyengat seperti cili padi kampung atau cabai burung!

Amie biasa tambahkan cili padi minyak dalam masakan lemak. Gambar di atas : Masak Lemak Cili Padi Ikan Patin Sama Petai.
 
 Ini Asam Rebus Ikan Pari. Selain cili merah kisar buang biji, Amie tambahkan cili padi minyak. Sewaktu makan, picit-picit saja cili padi tu atas nasi!

 Begitu juga dalam masakan lemak sotong. Jangan lupa tambahkan cili padi dalam perencahnya!

Ini cili padi putih. Selalunya kami beli di Kundasang. Rasanya tidaklah sepedas mana, tapi cukup enak kalau dibuat masakan seperti di bawah ini!

Ikan bilis goreng, ditambah dengan bawang goreng serta bunga kantan! Tuangkan sedikit cuka dan kicap....mmmm sangat sesuai makan dengan nasi panas kala tengahari!

Geramkan tengok cili padi muda atas pokok! Nampak segar dan cantik. Jom kita petik, kita buat perencah rendang...


Rendang udang ini, Amie gunakan cili padi! Bila santan bertemu cili padi, taklah sepedas mana.... sedap!

 Ini cili padi ungu. Bonda banyak tanam di tepi rumah.

 Sempat rembat segenggam dua buat perencah rendang kerang!

Kata Encik Wikipedia, cili padi buahnya menegak. Jom kita tengok gambar-gambar di atas dan di bawah. Yang menegak itu cili padi, yang ke bawah itu... cili apa ya!


 Naa... tengak-tegak semuanya!

 Cili padilah namanya tu...

 Wokey... kita sambung tentang masakan yang menggunakan perencah cili padi.... 

 Tambahkan cili padi dalam masakan udang!


 Boleh juga campurkan cili padi bersama cili merah untuk perencah sotong!


 Ikut sukalah nak guna cili padi jenis apa.

Walaupun kita sudah tahu cili padi banyak khasiatnya, tapi berpada-padalah ketika memakannya. Maklumlah, tak semua perut mampu menerima tahap kepedasan yang melampau. Eloklah bersederhana dalam pengambilannya.

Amie biasa juga buat cili kisar sendiri untuk dinikmati bersama mee goreng atau mee hoon goreng. Dulu Amie suka beli, tapi rasanya eloklah buat sendiri. Kita boleh tentukan tahap kepedasan, kemasaman, masin manis mengikut citarasa.
Amie akan gunakan cili padi kampung, tapi taklah dalam jumlah yang banyak untuk membuat sambal belacan campur mangga seperti di bawah ini.

Atau, kadang-kadang hiiris cili padi tambah cili hijau dan merah untuk ditumis bersama ikan bilis dan juga jering.

Yang di bawah ini, sambal colek atau sambal belacan gaya MIL.

Yang di bawah ini pula, sambal bawang. Mmmm... kecur liur bila tengok sambal bawang ni. Rasa macam nak buat sekarang jugak!
Wokey... berhenti di sini dulu ye.


Sumber Rujukan:
Pusat Rujukan Persuratan Melayu
Wikipedia
Khasiat Herba Untuk Kesihatan
Ketahui Khasiat Makanan Anda 

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.