Portal berita The New Zealand Herald melaporkan, kejadian pelik itu yang kini dalam siasatan pihak berkuasa berlaku terhadap penerbangan MH132 yang menuju Kuala Lumpur pada hari sambutan Krismas lalu.
Pesawat Airbus A330 itu yang sepatutnya melalui laluan ke utara, untuk ke Malaysia, bergerak menggunakan laluan lebih selatan, ke arah Australia.
Penerbangan MH132 itu meninggalkan Lapangan Terbang Auckland ke Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, juruterbang menyedari pesawat tidak menuju ke laluan yang betul selepas beberapa minit perjalanan.
Lapan minit selepas pesawat itu berlepas, juruterbang menghubungi menara kawalan udara di Auckland meminta mereka melihat mengapa pesawat tidak terbang menuju ke Malaysia.
The New Zealand Herald melaporkan, MH132 terbang menuju ke selatan menghala ke Melbourne.
Juruterbang kemudian bertindak mengemudi pesawat itu menuju ke barat laut pusat bandar Malaysia.
Penumpang bagaimanapun tidak dimaklumkan berhubung insiden itu.
Berita mengenai kejadian tidak diingini itu mungkin mencetuskan tanda tanya kepada pemilik syarikat itu yang sebelum ini dilingkari kontroversi berkaitan tragedi pesawat MH370 dan MH17.
Syarikat Airways Corporation, yang merupakan syarikat pembekal perkhidmatan navigasi udara di New Zealand, kini sedang menyiasat kejadian itu.
Jurucakap syarikat tersebut yang mengesahkan kejadian itu berkata, pelan penerbangan yang difailkan syarikat penerbangan itu dengan pihaknya adalah ke Kuala Lumpur tetapi menerusi laluan sedikit berbeza berbanding yang dijangkakan oleh juruterbang.
“Airways akan bekerjasama rapat dengan pihak terlibat bagi mengenal pasti bagaimana kekeliruan tersebut boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, MAS menjelaskan insiden berkenaan berlaku akibat penghantaran pelan penerbangan yang berbeza.
MAS dalam satu kenyataan berkata, pada hari berkenaan, pe-nerbangan MH132 telah diberi pelan penerbangan terkini oleh Operation Dispatch Centre (ODC) miliknya manakala Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) di Auckland secara tidak sengaja diberikan pelan pe-nerbangan yang lebih awal.
Sehubungan itu katanya, MAS kini menjalankan siasatan berhubung penyerahan pelan pe-nerbangan berkenaan kerana ke-selamatan merupakan aspek yang amat diberi perhatian dan pihaknya mematuhi proses dan prosedur ke-selamatan yang ketat.
“Kedua-dua laluan telah mengikuti laluan penerbangan yang diluluskan dan pesawat itu mempunyai bahan api yang cukup untuk kedua-dua laluan.
“Keselamatan penumpang dan anak kapal tidak pernah dikompromi pada bila-bila,” katanya. -Utusan