Polis menjalankan siasatan di sekitar Pasar Borong Selayang, selepas kes tembakan rambang, Rabu lalu. - Foto ihsan PDRM

Polis tidak menolak kemungkinan kejadian tembakan rambang di Pasar Borong Selayang, Rabu lalu, bermotifkan balas dendam.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, siasatan awal mendapati, sekumpulan lelaki yang melepaskan tembakan rambang itu, telah pergi ke tempat kejadian dua hari sebelum kejadian dan menimbulkan kekecohan selepas mabuk.
Menurutnya, ada di antara suspek itu yang dipukul orang ramai, kerana mencetuskan kekecohan.
“Kami percaya mungkin suspek adalah individu sama membuat kekecohan dua hari sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, dua warga Myanmar, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera, selepas terkena tembakan rambang daripada lima suspek yang menaiki dua kenderaan.
Munusamy berkata, kanak-kanak yang cedera di kaki kanan dan lelaki berusia 34 tahun yang terkena tembakan di bahagian perut itu, masih menerima rawatan di Hospital Selayang dan dilaporkan stabil.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun di kawasan berdekatan tempat kejadian.
Menurutnya, tempoh reman suspek disambung hari ini, bagi membantu siasatan.
“Polis masih mencari saki-baki suspek yang terlibat untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penaliti Lebih Berat) 1971.
Sementara itu, polis turut menafikan dakwaan berhubung keadaan Pasar Borong Selayang tidak selamat, seperti yang disebarkan dalam aplikasi WhatsApp dan media sosial hari ini.
Khabar angin itu turut mendakwa kononnya kaum India tempatan tidak dibenarkan masuk ke pasar tersebut, kerana ia boleh mendatangkan bahaya.
Dakwaan itu timbul, selepas dua kejadian tembakan dan bunuh yang berlaku di pasar tersebut dalam tempoh seminggu.
Munusamy berkata, khabar angin itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab, bagi menakut-nakutkan orang ramai.
“Ini khabar angin yang tidak benar. Pasar Borong Selayang adalah tempat yang selamat,” tegasnya.
Jelasnya, kira-kira 50 anggota polis ditempatkan di kawasan itu setiap masa, selain terdapat anggota peronda dan balai polis bergerak yang memantau tahap keselamatan di pasar berkenaan. - TheRakyatPost