Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Asal usul Dato Seri Vida

CELAH GELEGAR
Asal usul Dato Seri Vida
Asal usul Dato Seri Vida
Wanita kelahiran Machang, Kelantan ini jujur mengakui dia lahir dalam keluarga berada sebelum menjadi anak yatim pada usia sembilan tahun kerana kematian bapa.

"Saya dan ibu hilang punca rezeki ketika itu secara tiba-tiba. Jadi bermula dari situ, saya mengenal apa itu bisnes. Asal yang boleh dapat wang saku, saya buat.
"Saya pernah jual nasi lemak orang, untung dapat 30 sen. Saya bersyukur sangat duit itu saya lama-lama kumpul dapat beli motosikal.
"Ini kerana saya selalu fikir sampai bila hendak sekolah naik bas ketika di sekolah menengah waktu itu," katanya yang bersemangat bercerita tentang kisah zaman persekolahannya.
Jelasnya, lebih menyedihkan apabila ibunya terpaksa menjual sebidang tanah untuk menyara kos perbelanjaannya di Universiti Sains Malaysia.
Kata anak tunggal dalam keluarga itu, harga tanah itu dijual pada harga RM13,000 dan hari ini harga tanah itu melambung kepada RM150,000.
"Tapi baru tahun pertama saya sudah habis RM5,000. Bayar yuran, beli buku dan sara kos sara hidup. Jadi saya mula berfikir kena cari duit saku.
"Saya mula jual macam-macam kepada pensyarah dan kakitangan universiti. Saya bawa kain telekung, batik dan macam-macam barang lagi dari Kelantan.
"Pernah waktu cuti semester, saya pergi kerja kilang selain kerja sambilan di restoran segera, Kentucky Fried Chicken," katanya yang tidak malu untuk mencari duit bagi menampung kos pelajarannya.
Sebagai pemegang Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah), Hasmiza turut tampil berkongsi pengalaman menjadi guru di sekolah Cina selama 12 tahun di Ipoh, Perak.
"Orang cakap kalau jadi cikgu tidak boleh meniaga, saya gelisah waktu itu. Saya memang boleh demam kalau tidak berniaga. Jadi tahun pertama jadi guru, saya sambung buat Sarjana dahulu sebelum meneruskan pengajian Doktor Falsafah secara jarak jauh," katanya rancak bercerita.
Seterusnya, akibat jiwanya memberontak mencuba karier yang lebih mencabar, Hasmiza memilih perniagaan salon sebagai destinasi kerjaya pilihan.
Dari situlah dia mula membuat pelbagai produk kecantikan bagi memenuhi keperluan pelanggan di salon bagi rawatan wajah.
Apatah lagi, ketika itu kira-kira 15 tahun yang lalu, gelombang produk kecantikan dari luar mendapat permintaan tinggi menyebabkan dia berani menghasilkan produk kecantikan sendiri secara kecilan.
Seterusnya, rezeki berpihak kepada dirinya apabila mula mengorak langkah panjang dalam kariernya dengan menjadi tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK).
Mendapat wang tertunggak sebanyak RM500,000, dia memberani diri membeli iklan untuk mempromosi produknya itu.
Namun akhirnya akibat salah mengiklan, dia mengalami kerugian besar apabila produk langsung tidak mendapat sambutan.
"Rasanya sudah berjuta saya rugi akibat menaja dan buat iklan yang tidak menjadi. Sebab itu bila saya nak taja AJL29 dan Gegar Vaganza, saya sudah tekad, stesen tv kena ikut cara saya.
"Saya yang bagi idea semua sebab saya sudah belajar dari kesilapan lalu. Biasanya saya berdoa tidak kira waktu dan tempat sebanyak 20 kali sehari. Tapi waktu taja AJL29, saya berdoa lebih 50 kali. Saya reda dan tawakal.
"Dan Alhamdulillah, iklan saya menjadi dan jadi sebutan ramai. Permintaan dan jualan melonjak hari-hari sampai saya kehabisan stok dan terpaksa mengagihkan produk kepada stokis secara kuota," katanya serius.
Vida Beauty kini memiliki lebih 400 stokis di seluruh negara termasuk di Brunei dan Singapura dengan menggajikan kakitangan seramai 130 orang.
Tujuh tahun lalu, bisnes Hasmiza melonjak tinggi gara-gara keberanian memperkenakan minuman kesihatan di bawah jenama Pamoga.
Produk yang menjadi fenomena itu membolehkan dia berubah sekelip mata menjadi jutawan sehingga mampu membina Wisma Vida Beauty yang tersergam indah dan mewah di bandar Ipoh.
Apabila ditanya hasil di sebalik semua kejayaan itu, wajah wanita yang nampak tegas namun peramah itu tiba-tiba menjadi sangat ceria.
Katanya, dia gembira dan bersyukur kerana dapat membantu masyarakat yang mengalami masalah kesihatan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
"Sebanyak 98 peratus testimoni Pamoga kembali pulih seperti biasa dan yang buat saya gembira, apabila mereka dapat kembali bersolat dengan sempurna dan ada yang tidak perlu dijaga lagi oleh anak-anak setelah sakit sekian lama.
"Selain itu, saya juga mahu kejayaan di dunia dan akhirat. Berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan, itu yang lebih memberi kepuasan," katanya yang malu-malu bercerita tentang sekolah pondok miliknya selain kesanggupannya menaja beberapa rumah anak yatim dan sekolah tahfiz.
Emosi sedih Hamza semakin larut apabila diminta berkongsi kenangan pahit sepanjang 15 tahun bergelar usahawan berjaya.
Wanita ini berkata, kehidupannya bagaikan musnah apabila hilang dua anak yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat pada 5 Ogos 2013.
Lebih menyayat hati, dua anaknya Eddie Zuhdi, 11, dan Edrie Zikri, 10, pergi mengadap Ilahi pada 25 Ramadan, lima hari sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal.
Dua lagi anaknya, Edlin Zamilin dan Eric Zaquan yang kini berusia 10 dan lapan tahun menjadi penyeri hidupnya untuk mengusung sisa duka yang belum hilang ke hari ini.
Bercerita mengenai arwah dua puteranya itu, naluri keibuan wanita ini cukup terserlah.
"Dua arwah anak saya itu hendak sangat berjumpa malam lailatulqatur dan selalu doa nak masuk syurga tertinggi. Saya menangis 40 hari dan bertahlil di ruang tempat mereka tidur.
"Namun saya sudah ada isyarat sebelum kejadian itu kerana suka bermurung. Bila saya terima berita, saya cuma terdiam dan reda. Ada orang cakap ini saham untuk saya di akhirat nanti," katanya sayu.katanya sayu.
Di akhir wawancara ini, nada suara Hasmiza kembali serius apabila dia berkongsi pengalaman bergelar ibu tunggal.
Berkahwin kali ketiga pada Oktober tahun lalu, jelas ada gerimis yang bertandang di wajah wanita ini biarpun bibir sentiasa menguntum senyuman.
Kurang selesa bercerita hal peribadi, barangkali ramai yang tidak tahu Hasmiza bergelar ibu tunggal selama lapan tahun sebelum berkahwin kali kedua Januari tahun lalu.
Derita yang dia tidak tahu kepada siapa boleh diluahkan apabila diceraikan selepas tiga bulan mengecapi alam perkahwinan.
Barangkali air mata wanita ini sudah kering untuk ditangisi. Dia sudah puas menanggung derita sebelum berada di puncak pada hari.
Justeru, kata nista yang dilempar gara-gara menaja AJL29 langsung tidak meninggalkan kudis buat dirinya.
"Saya cuma berharap dapat memberi sumbangan yang cukup kepada mereka yang kurang bernasib baik.
"Kehilangan dua anak membuatkan saya hendak kaya dan bahagia di dunia dan akhirat. Itulah yang saya perjuangkan hari ini dalam perniagaan," luahnya yang melengkapkan pandangan sebagai seorang wanita yang istimewa di mata saya. - MalaysiaGazette

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.