Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Video of the day

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Meninggal pengakalan 55 menginjak ke pengkalan 56

.
Meninggal pengakalan 55 menginjak ke pengkalan 56
EPILOG TAHUN BARU

Dengan pujian tertinggi dan teragung kepada Allah swt yang hanya berhak ke atas pujian itu. Juga zikir abadi kepada-Nya dan salam berpanjangan kepada Muhammad saw, rasul-Nya, saya mulakan catatan ini, setelah beberapa hari tidak mengisinya. Para penjengok blog saya tentu faham kenapa ruang maya saya terbiar kosong sunyi dan sepi untuk beberapa hari tanpa dimasuki sepatah salam dan pesan.

Maaf kalau ia menyusah dan mengecewakan anda. Apabila anda menyelaknya ia tidak ada apa-apa kemasukan. Dengan catatan hari ini bermakna saya masih belum letih dan insya-Allah akan terus menulis, menulis dan menulis walaupun saya kini separuh imigran sudah menjadi “warganegara hospital”, kerana ini adalah wadah perjuangan saya menerusi bakat yang Allah berikan sedikit ini.
(Segala-gala tentang diri saya sudah diketahui seperti mana saya jangkakan. Jangkaan awal itu tidak meleset membuatkan saya tidak gundah dan bersemangat untuk melalui putarannya penuh keredhaan. Tuhan masih sayang saya dan kita semua untuk terus bersua dan bersapa di sini selagi mungkin).

Dan atas Rahman dan Rahim itu, dengan dua belah tangan, seluruh anggota pancaindera dan hati terbuka lapang, sama-sama kita menerima salam matahari hari ini, sebagai satu lagi detik dan mulanya kita ke satu lagi takah atau episod untuk dilalui, selama 365 hari lagi. Apakah kita akan sampai ke hujung atau pun bagaimana? Hendaknya kita tidak akan meninggal dan ditinggalkan pengakalan baharu ini tanpa apa-apa wasiat dan amanat untuk diri dan dunia. Itu paling penting dan tidak ada istilah lewat dalam hidup ini kerana hidup sebenarnya bermula semalam.

Hari ini, 33 hari lagi saya akan mula beralih “pengkalan diri”, daripada pengkalan 55 menginjak ke pelantar 56. Pengkalan 55, sesuatu pengkalan yang saya akan kenangi mungkin lebih dari 54 pengkalan-pengkalan yang saya tinggal lalu. Ia bukan kerana berkebetulan pengkalan ini sama dengan nombor teratak kecil saya di Wangsa Melawati, Nombor 55, tetapi ada signifikan lain, iaitu pengkalan ini membuat saya terbuka pintu fikir apakah akan terus menulis (berjuang) dalam bidang yang mendarah daging ini atau bagaimana?

Beberapa bulan sebelum ini atau tepatnya awal pengkalan ini saya sudah membuat perenungan terhadap apa yang saya perjuangkan sebelum ini, maksudnya apsek yang saya gulati, iaitu politik. Apakah saya perlu terus menulis mengenai politik, mengulas isu-isu politik, menegur karektor politician, serta merakam segala sejarahnya dari segenap penjuru mata angin tanpa menghiraukan kesihatan diri, anak isteri dan rumah tangga? Saya terfikir ingin berhenti dari melukis kisah politik yang tidak pernah ada masa rehat dan senggang, tidak pernah mengundang damai, melainkan penuh hasad dan kekarutan sampai membubuki kepala. Kadang kala ingin dinokhtahkan segera kerana terlalu muak dengan telatah dan gelagat politik.

Itu yang ada dalam kepala saya. Tetapi untuk berhenti menulis sama sekali tidak. Bagi saya tiada perhentian yang akan memberhentikan saya daripada menulis selagi ada daya dan hayat, dakwat dipohon tidak akan kering. Hidup sebagai manusia perlu berjuang hingga ke akhir hayat, menurut kemampuan setiap individu itu. Hidup tanpa perjuangan, samalah hidup yang kosong dan tidak ada nilai. Ia persis pokok mati. Insan yan disyariatkan ke atas dunia ini untuk menjadi khalifah, maka kita harus memaknakan dan menjujungi anugerah itu.

Tanpa apa-apa perjuangan, maka insan itu tidak berhak untuk menerima gelaran bahawa dia (manusia) sebagai khalifah. Justeru sia-sialah Allah mensyariatkan dia. Manusia tanpa ada nilai perjuangan dalam diri, lebih hina daripada haiwan.

Menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan adalah prinsip saya yang tidak pernah bergajak kerana ia adalah paksi dan tunjang diri sejak dari dulu. Walaupun siapa, puak mana, kawan atau lawan yang melakukan kemungkaran akan saya tegur dan tentang. Saya tidak pernah berkompromi dengan kemungkaran dan kebatilan dilakukan sesiapa jua, adik beradik, kawan sobat, atau apa lagi penguasa maupun pembangkang. Saya berbuat begitu kerana saya yakin dengan (prinsip) apa yang saya lakukan dan tidak pernah ada elemen kepentingan untuk saya.

Gara-gara sikap tegar begitulah, maka saya dituduh dan dianggap berbagai-bagai konotasi yang negatif yang kadang-kadang berasa sedih dan dukacita juga. Tidak mengapa itu saya anggap dan sambut sebagai cabaran dan sumber kekuatan dan pupuk diri saya. Hanya kita memahami diri kita. Selepas diri kita semuanya orang lain. Orang lain tidak akan dapat merasai apa yang kita makan dan begitu juga sebaliknya.

Bertolak dari tabir fikir begitu, apakah saya perlu berterusan berkucah dalam dunia politik yang tidak membawa hasil, maksudnya politik seperti mana yang didambakan, setelah 35 tahun mengikutinya, apakah perlu saya membuat sedikit anjakan, perubahan dalam perjuangan dengan beralih dari bidang politik kepada bidang lain? Biarlah politik berjalan dan berlari dengan kehendaknya seberapa kompleksiti, dan diserahkan kepada generasi baharu menanganinya. Mungkin mereka ada pandangan dan idea tersendiri yang lebih mampan.

Sesuai itu saya mengimpikan untuk memulakan satu agenda baharu untuk dilaksanakan di sepanjang pengkalan 56 ini dengan menulis riwayat panjang mengenai diri sendiri – memoir. Riwayat ini bermula sejak dari alam kecil , persekolahan, remaja, alam berumah tangga, penglibatan dalam penulisan, bidang politik hinggalah membawa kepada aktiviti hari ini.

Sebenarnya riwayat ini telah saya mulakan sejak dua bulan lepas apabila saya mula menjadi warganegara Hospital (PPHUKM). Kini sudah masuk lima bab riwayat berkenaan sudah digarap dan akan dikemaskan di sepanjang pengkalan ini. Insya-Allah. Saya sangat berharap memoir saya ini akan sampai ke muka surat akhirnya dan akan dapat diterbitkan. Atas kehendak Allah jua.

Dalam riwayat saya ini nanti, ia akan menjadi cermin jernih untuk sesiapa mahu mengenali saya dan mungkin terkeliru dengan saya? Saya menulis tanpa hipokrit walaupun tentang diri saya sendiri. Bagi saya tidak ada baiknya kita melindungi keburukan, kelamahan atau kekurangan kita dengan hanya menampilkan kebaikan, sedang apa yang disembunyikan itu akan Allah ceritakan jua di Mahsyar besok.

Mudahan agenda saya ini akan terlaksana dengan sempurna dan lancarnya. Jaya dan tidak ia turut tergantung kepada doa dan harapan anda sekalian dan komitmen saya sendiri. Dan akhirnya apa pun yang kita rancang, ia akan ditentukan oleh Tuhan jua. Kita hanya boleh menetapkan mengikut kehendak kita tetapi Dia akan menentukan atas keMAHAan bijaksanaa-Nya. Wassalam. [ppukm cheras. 3.03 am 01/0116]


0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.