CELAH GELEGAR - Mencari Kebenaran Yang Sebenar
Adakah Mykmu mengakui bahawa Najib membelanjakan AS$14 juta di Jakel? -Lim Lip Eng
Seorang ahli parlimen pembangkang menggesa gedung fesyen Jakel Trading supaya mengemukakan resit untuk membuktikan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membeli pakaian dan barangan lain sebagai sumbangan kepada kebajikan dan bukan untuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Lim Lip Eng berkata demikian bagi menjawab dakwaan portal pro-Umno,Mykmu.net berhubung tindakan Najib antara 2011 dan 2014 yang memindahkan lebih AS$14 juta kepada Jakel.
Memetik sumber, portal itu mendakwa bayaran berkenaan adalah untuk mendapatkan barangan untuk disumbangkan seperti pakaian untuk anak yatim dan mangsa bencana alam serta permaidani untuk masjid.
"Adakah Mykmu mengakui bahawa Najib membelanjakan AS$14 juta di Jakel?" soal ahli parlimen Segambut itu.
Katanya, dengan gaji perdana menteri sekitar RM50,000, Najib tidak mampu membelanjakan jumlah yang sebegitu besar.
"Saya mahu perdana menteri secara ikhlas memberitahu rakyat bagaimana beliau mendapat wang ini," katanya.
Secara sinis, Lim berkata kerajaan perlu menulis surat kepada Guinness Book of Records untuk mencadangkan nama Najib sebagai pemimpin yang telah membuat sumbangan terbesar.
Semalam, Lim membuat laporan polis berhubung jumlah yang didakwa dibelanjakan di Jakel seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Wall Street Journal.
Selepas melawat gedung fesyen itu, beliau mendakwa ada pakaian yang dijual itu mencecah harga sehingga RM10,000 sepasang.
"Jadi, adakah Najib membeli 5,500 pakaian dari Jakel untuk Rosmah dalam tempoh empat tahun? Satu tahun bersamaan 365 hari, yang seterusnya bermakna 1,375 pakaian. Ini adalah kira-kira empat pakaian sehari,” katanya.
Walau bagaimanapun, Mykmu mengkritik media kerana cuba menggambarkan isteri perdana menteri sebagai seorang yang boros.
"Belum ada orang gila beli baju di Jakel berpuluh juta ringgit untuk kegunaan sendiri.
"Jika benar ia pembelian peribadi, berdasarkan harga pakaian Jakel yang merupakan harga dalam kemampuan majoriti rakyat Malaysia, Najib Razak mungkin terpaksa menyewa gudang untuk menyimpan kesemua pakaian tersebut," kata portal itu.
Portal itu berkata setiap tahun perdana menteri, Umno dan NGO mengadakan acara membeli pakaian hari raya untuk anak-anak yatim di Jakel menggunakan sumbangan perdana menteri.
Malaysiakini telah menghantar e-mel kepada Jakel Trading dan sedang menunggu jawapannya. - MK
00:45 | 4
comments